Xiaomi akan baiki ciri automasi secara jarak jauh selepas SU7 rempuh penghadang lebuh raya

4 hours ago 4

BEIJING – Gergasi teknologi pengguna China, Xiaomi akan membaiki secara jarak jauh kecacatan dalam sistem pemanduan bantuan pada lebih 110,000 kereta elektrik popular, SU7 kata firma berkenaan dan pihak berkuasa hari ini,  beberapa bulan selepas kemalangan maut melibatkan model tersebut.

Syarikat teknologi dan pembuat kereta China itu melabur berbilion-bilion  dolar dalam teknologi pemanduan pintar.

Bagaimanapun, Beijing bertindak mengetatkan peraturan keselamatan selepas sebuah kereta Xiaomi SU7 dalam mod pemanduan bantuan, terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan  tiga pelajar kolej awal tahun ini.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan mengenai pengiklanan kereta tersebut sebagai mampu memandu secara autonomi.

Hari ini, Pentadbiran Negeri untuk Peraturan Pasaran berkata, sistem pemanduan bantuan lebuh raya Xiaomi menunjukkan pengiktirafan, amaran dan keupayaan pengendalian yang tidak mencukupi dalam menghadapi beberapa situasi pemanduan ekstrem.

Hak ini merisikokan perlanggaran jika pemandu gagal campur tangan  segera, kata pihak berkuasa kawal selia tersebut.

Xiaomi akan menaik taraf secara jarak jauh model SU7 standard yang dikeluarkan sebelum 30 Ogos 2025, kata syarikat itu dalam soal jawab di platform media sosial Weibo.

“Xiaomi sentiasa meletakkan keselamatan pengguna sebagai keutamaan utama,” katanya, sambil menambah,walaupun tiada bahagian fizikal yang perlu diganti, ia akan menguruskan pembaikan mengikut prosedur penarikan semula.

Ia melibatkan 116,887 kereta, kata pengawal selia.

Tiga pelajar maut pada Mac lalu selepas Xiaomi SU7 dinaiki mereka melanggar penghadang konkrit sebuah lebuh raya di wilayah Anhui, timur China.

Sebelum pelanggaran, kenderaan itu berada dalam mod pemanduan bantuan Navigate On Autopilot Xiaomi dan  bergerak pada kelajuan 116 kilometer sejam, demikian  menurut kenyataan syarikat pada masa itu.

Semasa bergerak di bahagian lebuh raya dengan kerja-kerja pembaikan jalan, kenderaan itu mengesan halangan di hadapan, mengeluarkan amaran dan menyerahkan kawalan kepada pemandu, kata Xiaomi.

Namun, beberapa saat kemudian, kenderaan itu melanggar penghadang pada kelajuan kira-kira 97 kilometer sejam.

Rakaman yang disiarkan online  menunjukkan sebuah kereta terbakar di lebuh raya dan kemudian bangkai kereta yang terbakar. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |