KOTA KINABALU – Salah seorang remaja yang didakwa membuli pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir didakwa tidak menunjukkan sebarang trauma apabila pulang ke asrama untuk memberi keterangan.
Ketua warden, Azhari Abd. Sagap, 31, berkata demikian berdasarkan gambar yang diambil oleh pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Linah Mansoding @ Jahila pada 22 Julai lalu.
Linah juga merupakan saksi keenam inkues kematian Zara Qairina yang bermula sejak 3 September lalu dan telah memasuki hari ke-10 hari ini.
Peguam, Joan Goh: Pelajar A keluar dari sekolah kerana dia rasa trauma. Adakah awak tahu?
Azhari: Tidak tahu dan dia (pelajar A) pun tidak tunjukkan dia trauma. Ada gambar yang diambil pengawal keselamatan, gambar A dan seorang lagi pelajar datang ke sekolah untuk beri keterangan sebab sejak 18 Julai, Pelajar A tidak balik ke sekolah. Gambar itu tak menunjukkan Pelajar A dan pelajar seorang lagi trauma.
Goh: Tengok gambar saja dah cukup untuk cakap Pelajar A tidak trauma?
Azhari: Dia siap ‘peace’ lagi dalam gambar yang pengawal ambil.
Goh: Jadi tengok gambar boleh tahu?
Azhari: (tidak memberikan jawapan)
Goh: Siapa yang ambil gambar itu?
Azhari: Aunty Linah.
Goh merupakan peguam yang mewakili Pelajar A yang merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos lalu atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Difahamkan, Pelajar A, walaupun telah dikeluarkan daripada sekolah berkenaan, remaja terbabit masih belum berdaftar di mana-mana sekolah sejak kejadian tersebut.
Selepas dibawa pulang oleh ibunya pada 18 Julai lalu, penjaga Pelajar A telah mengemukakan dua surat cuti sakit sebelum dikeluarkan daripada sekolah berkenaan.
Semalam, Azhari memberitahu beberapa minggu selepas Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri, salah seorang pelajar yang didakwa membuli remaja terbabit telah berpindah sekolah namun alasan perpindahan tidak diketahui.
Terdahulu ketika ditanya sama ada, beliau ada meminta kebenaran daripada ibu Pelajar A untuk membawa remaja berkenaan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Papar untuk diambil keterangan,Azhari menjawab: ‘Tidak.’
“Saya tidak terfikir (untuk minta kebenaran) pada masa itu. Pegawai polis suruh saya bawa dan saya terus bawa. tetapi berdasarkan `chat’ dengan ibu Pelajar A pada 18 Julai lalu, dia maklum (anaknya dibawa ke IPD),” kata Azhari.
Prosiding bersambung Isnin ini. – KOSMO! ONLINE