[VIDEO] Merentas kubur demi bola

6 hours ago 6

SEREMBAN – Tindakan sebahagian peminat bola sepak Negeri Sembilan menggunakan jalan pintas merentasi tanah perkuburan Islam untuk ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam perlawanan baru-baru ini, mencuri perhatian ramai.

Situasi itu tular menerusi rakaman video berdurasi 10 saat dikongsi akaun TikTok @mattno yang meraih hampir 70,000 tontonan setakat ini sehingga digelar sebagai tontonan bola sepak paling menginsafkan.

Difahamkan, laluan tersebut digunakan susulan kekurangan tempat letak kenderaan di sekitar stadium, menyebabkan penonton meletakkan kenderaan di bahu jalan sebelum berjalan kaki merentas tanah perkuburan.

Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk ada yang menyifatkan kawasan itu sebagai tanah perkuburan paling meriah di Malaysia kerana sering dijadikan laluan peminat ke stadium.

“Kalau pergi stadium Paroi, memang akan ikut laluan kubur masa pergi dan balik,” kata pengguna TikTok @Cinta Myazara.

“Pasti beri salam, baca al-fatihah, doa macam-macam bila lalu di situ,” kata @Miah yang menyifatkan ahli kubur di situ sebagai bertuah.

Sebelum ini, isu kekurangan parkir di Stadium Tuanku Abdul Rahman mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyifatkan, ia sukar diatasi kerana lokasi stadium berhampiran kawasan perumahan.

Bagaimanapun, menurut Aminuddin, beberapa pihak termasuk Masjid Paroi dan Kompleks Akuatik Paroi telah membuka kawasan mereka sebagai parkir tambahan. – KOSMO! ONLINE

@mattno92 Assalamualaikum ya ahlil kubur #n9 #negeriSembilan #paroi #fyp ♬ bunyi asal – ᴀʜᴍᴀᴅsᴀɴᴄʜᴇᴢ
Read Entire Article
Pertanian | | | |