PETALING JAYA – Acara larian perpaduan tahunan, Setia4Malaysia Unity Run 2025, anjuran S P Setia Berhad (Setia) berjaya menghimpunkan hampir 1,000 pelari di Setia Fontaines, Pulau Pinang pada 7 September lalu.
Buat julung kali, acara itu turut diperluaskan melalui Setia4Malaysia Unity Fest 2025 yang berlangsung pada 6 hingga 7 September di beberapa perbandaran utama seluruh negara dengan jumlah keseluruhan 2,500 peserta.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Setia, Christinne Lim, berkata pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa masyarakat terhadap kedua-dua acara tersebut.
“Kami amat berbangga dengan kejayaan Unity Run di Setia Fontaines, Pulau Pinang serta penganjuran Unity Fest buat pertama kali di pelbagai perbandaran utama.
“Termasuklah Setia Bayuemas, Setia Alamsari, KL Eco City, Setia AlamImpian, Setia Eco Glades dan Setia Warisan Tropika, selain penyertaan antarabangsa dari Australia dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christinne berkata pengalaman budaya yang unik sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia serta dan juadah istimewa merupakan antara tarikan utama.
“Kami amat berbesar hati dalam menjalankan acara yang penuh dengan tenaga dan semangat perpaduan. Kami berharap inisiatif ini akan terus dilaksanakan dalam jangka panjang,” katanya.
Acara larian tersebut menampilkan tiga kategori iaitu larian keluarga 3 kilometer (km) cabaran 10km dan separuh maraton 21km yang bermula seawal pukul 5 pagi.
Para pemenang kategori 10km dan 21km menerima hadiah wang tunai, manakala semua penamat 21km diberikan pingat serta jersi eksklusif.
Di luar trek larian, para pengunjung menikmati suasana bazar yang berlangsung hingga pukul 1 tengah hari dengan pelbagai sajian tempatan, aktiviti kebudayaan, persembahan seni dan permainan tradisional.
Sementara itu, Unity Fest pula menarik lebih 1,600 peserta di perbandaran utama seluruh negara.
Antara aktiviti unik yang dianjurkan termasuk berkelah di taman dengan hidangan sate dan cendol di Setia Eco Gardens; persembahan ‘Roti Terbang’, canting batik dan permainan klasik di Setia Bayuemas.
Sambutan turut menyeberangi sempadan apabila komuniti di Setia Vietnam dan Setia Australia turut serta.
Memasuki tahun kelima penganjuran, Setia4Malaysia Unity Run dan Unity Fest disifatkan sebagai simbol dedikasi Kumpulan untuk bukan sahaja membina perbandaran moden, tetapi juga mewujudkan komuniti yang cergas, inklusif dan bersatu padu. – KOSMO! ONLINE