Beckham ‘taruk’ kelakuan Diallo, Garnacho ketika di Malaysia

1 day ago 12

PETALING JAYA – Legenda bola sepak England, David Beckham menyelar tindakan kurang beradab beberapa orang pemain Manchester United ketika berada di Malaysia, minggu lalu.

Beckham dalam satu temu ramah luar negara mengecam dua pemain kelab legenda tersebut, Amad Diallo dan Alejandro Garnacho yang tidak menghormati peminat sewaktu jelajah ke Asia.

“Saya merasakan banyak perkara yang tidak boleh diterima sebagai penyokong Manchester United.

“Ini kerana, kebanyakan daripada mereka (pemain) yang bersikap kurang wajar terhadap peminat,” katanya dalam klip berkenaan.

Difahamkan akibat kesal dengan kekalahan sewaktu perlawanan menentang ASEAN All-Stars, Isnin lalu, kedua-dua pemain kelab popular itu dirakam menunjukkan sikap kurang ajar melalui isyarat lucah terhadap peminat mereka.

Garnacho yang pada waktu itu menunjukkan isyarat lucah jari tengah, manakala Diallo turut melakukan isyarat yang sama bahkan tidak merasakan penyesalan sama sekali terhadap aksi memalukan itu.

Sementara itu, Beckham turut meluahkan kekecewaan melalui perkara tersebut.

“Perkara yang berlaku sekarang tidak mencerminkan nilai dan maruah kelab ini,” tambahnya.

Katanya, sebagai pemain United, tanggungjawab terhadap lencana di dada perlu dijunjung tinggi selain menganggap pemain kelab itu gagal membawa diri.

“Kami dulu sentiasa menghormati peminat tidak kira di mana sahaja kami pergi, namun ia dilihat pemain sekarang tidak lagi faham erti bermain untuk Manchester United.

“Apa yang berlaku di atas padang penting, tetapi sikap dan adab juga mencerminkan siapa kita sebagai pemain Manchester United,” ujarnya.

Terdahulu, kelab legenda itu baru-baru ini menamatkan musim EPL yang suram dengan jelajah singkat ke Asia, termasuk perlawanan menentang ASEAN All-Stars di Kuala Lumpur dan pasukan kebangsaan Hong Kong.

Pasukan bimbingan Ruben Amorim kalah 0-1 di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |