MELAKA – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian selepas menahan 19 individu termasuk pelancong Indonesia dalam serbuan Op Merpati di tiga buah kediaman di sekitar negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua mereka terdiri daripada dua sindiket calling center yang menyasarkan mangsa warga Indonesia dan China.
Katanya, seramai tujuh lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun diberkas di serbuah rumah sewa dj Jalan Tun Perak pada 12.30 tengah hari, 2 September lalu.
“Kita percaya rumah tersebut menjadi pusat operasi penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa senegaranya.
“Siasatan awal kesemua telah datang ke negara ini secara sah sebagai pelancong sebelum menjalankan aktiviti scammer sejak tiga bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, hari ini.
Tambahnya, kesemuanya mengambil upah bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk menipu mangsa dengan menggunakan modus operandi mengiklankan telefon bimbit, motosikal dan kereta pada harga murah melalui Facebook.
Ujarnya lagi, mangsa akan dihubungi melalui Telegram dan diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun Bank Central Asia (BCA), Indonesia dan Shopeepay yang dipercayai milik ketua sindiket.
Mengulas lanjut beliau berkata, tangkapan sindiket kedua dibuat pada pukul 1.30 petang di sebuah rumah di Ayer Keroh, 3 September lalu.
“Dalam serbuan ini seramai seorang lelaki tempatan, lima individu warga China dan dua wanita Filipina berusia 30 hingga 60 tahun diberkas selepas dipercayai menipu mangsa terdiri daripada warga China.
“Hasil soal siasat kita mengesan baki ahli sindiket di sebuah rumah di Banda Hilir dan menahan empat lelaki China berusia 24 hingga 32 tahun yang dipercayai mengambil upah hampir RM10,000 sebulan untuk menipu perkhidmatan seks,” katanya.
Katanya, dalam Op Merpati itu, polis merampas pelbagai barangan bernilai RM575,000 termasuk tiga buah kereta, tujuh komputer riba dan 29 telefon bimbit.
Dzulkhairi berkata, kesemua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.- KOSMO! ONLINE