LONDON – Tottenham Hotspur bertekad memburu kemenangan keempat berturut-turut ke atas Manchester United menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam ini.
Spurs tidak pernah kalah kepada United dalam tujuh pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan dalam semua kejohanan sejak tumbang 0-2 kepada United pada 20 Oktober 2022.
Skuad bimbingan Thomas Frank itu juga kembali menemui rentak selepas membelasah Copenhagen 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu lalu sekali gus menebus kekecewaan dimalukan Chelsea minggu lalu.
Kemenangan itu turut melonjakkan semangat pemain yang kini menghuni tangga keenam liga, hanya satu mata di belakang Liverpool berada di tempat ketiga.
Di sebalik prestasi memberangsangkan itu, rekod di laman sendiri masih menjadi tanda tanya apabila tiada pasukan EPL tewas lebih banyak di tempat sendiri tahun ini berbanding Spurs dengan sembilan kekalahan.
Frank turut berdepan tekanan selepas tewas sembilan daripada 16 aksi liga di laman sendiri sejak mengendalikan Brentford dan Spurs, namun jurulatih Denmark itu enggan menjadikan statistik lama sebagai penghalang kebangkitan pasukannya.
“Kami sudah menunjukkan Tottenham yang sebenar. Tapi untuk kekal di atas, kami perlu ulang prestasi seperti itu setiap minggu,” katanya.
Antara watak utama dalam kebangkitan Spurs ialah pertahanan tengah, Micky van de Ven yang mencuri tumpuan dengan jaringan solo menakjubkan menentang Copenhagen dan Frank menyifatkan gol tersebut sebagai salah satu detik paling hebat musim ini.
“Van de Ven berlari dari kawasan sendiri dan menamatkan dengan sempurna. Ia menunjukkan keyakinan pemain ini dan semangat seluruh pasukan,” ujar pengendali itu.
Bagaimanapun, Spurs berdepan krisis kecederaan apabila beberapa tonggak seperti James Maddison, Dejan Kulusevski, Yves Bissouma dan Radu Dragusin masih belum pulih, selain Mohammed Kudus juga diragui sempat pulih menjelang perlawanan tersebut. – AGENSI

3 hours ago
1

















































