JAKARTA – Seorang pelajar disyaki bertanggungjawab terhadap insiden dua letupan di sebuah masjid ketika waktu solat Jumaat di Jakarta semalam, lapor laman berita Channel News Asia.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo berkata, suspek merupakan seorang pelajar yang turut cedera dan sedang menjalani pembedahan.
“Berkaitan motif kejadian, kami kini sedang menyiasat pelbagai maklumat,” kata Listyo dalam satu sidang akhbar.
Letupan itu berlaku di sebuah sekolah menengah di Jakarta Utara sekitar pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan), mencetuskan panik dalam kalangan para pelajar sehingga menyebabkan kira-kira 50 orang cedera.
Sementara itu, Timbalan Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Lodewijk Freidrich Paulus menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan dalam insiden itu.
“Jangan terus membuat kesimpulan bahawa ini adalah perbuatan pengganas,” kata Lodewijk seperti dipetik oleh agensi berita Antara sambil menambah, siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, letupan berlaku di bahagian belakang masjid di kawasan sekolah dan berhampiran pintunya.
Saksi memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa mereka mendengar sekurang-kurangnya dua letupan kuat sekitar tengah hari, ketika khutbah Jumaat baru sahaja bermula di masjid SMA 72.
Menurut laporan CNN Indonesia, Paulus berkata, gambar senjata yang tersebar di media sosial sebenarnya hanya pistol mainan.
“Terdapat gambar mengenainya tetapi selepas diperiksa, ternyata ia adalah pistol mainan, bukan senjata sebenar,” katanya.
Pihak polis menemukan senjata mainan itu di lokasi kejadian dengan beberapa tulisan padanya, demikian menurut kenyataan Istana Presiden Indonesia tanpa memberikan butiran lanjut. – AGENSI

2 hours ago
1

















































