JAGUH badminton negara, Aaron Chia tidak kisah jika dipisahkan sementara dengan Soh Wooi Yik untuk bergandingan dengan mana-mana pemain pada Sukan SEA Thailand bulan depan.
Juara dunia 2022 terbuka menerima apa sahaja perancangan taktikal barisan kejurulatihan, termasuk membentuk kombinasi baharu acara berpasukan dan individu memandangkan temasya dwitahunan itu tidak menawarkan mata ranking dunia.
“Saya harap dekat Sukan SEA nanti kita boleh cuba pasangan berbeza (scratch pair) dan tengok bagaimana hasilnya. Memang sudah ada perbincangan dengan jurulatih.
“Sukan SEA bukan kejohanan yang menawarkan mata ranking, jadi ia satu pentas sesuai untuk kita cuba benda baharu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Aaron yang memenangi pingat emas edisi Manila 2019 di Filipina bersama Wooi Yik percaya gandingan baharu mampu mencetuskan kejutan serta memberi kelebihan taktikal kepada negara menjelang Piala Thomas Denmark 2026.
“Kadang-kadang scratch pair ini boleh jadi lagi kuat. Lawan pun sukar nak jangka, ia boleh jadi satu kelebihan buat pasukan.
“Contohnya seperti Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, mereka pada asalnya merupakan scratch pair, tetapi akhirnya menjadi gandingan mantap dan beri kejutan kepada lawan.
“Cadangan saya ini bukan buat untuk suka-suka, kita turun memburu pingat emas. Tahun depan ada Piala Thomas, jadi kita nak cuba dengan gandingan baharu ini,” ujarnya.
Mengulas calon pilihan untuk digandingkan, Aaron menyerahkan kepada barisan kejurulatihan, namun tidak menolak bergandingan sama ada Man Wei Chong atau Tee Kai Wun.
“Siapa pun sama saja dan saya yakin untuk bergandingan dengan sesiapa. Yang penting sasaran adalah pingat emas, kita akan usaha sehabis baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3

















































