Satu trofi dua pemenang tidak mustahil

4 hours ago 3

DALAM sesuatu pertandingan, pasti tumpuan ramai ternanti-nantikan siapa yang bakal diumumkan sebagai juara mahupun pemenang utama. Sama ada dalam arena sukan, hiburan atau bukan acara berskala mega, fokus pemerhati lebih terarah kepada calon yang layak membawa pulang trofi.

Namun, bukan sesuatu yang mustahil apabila dalam sesebuah pertandingan diumumkan dua pemenang bersandarkan kriteria, markah serta prestasi untuk bergelar juara.

Seperti kemenangan dua teraju utama filem Blood Brothers: Bara Naga dalam Festival Filem Malaysia ke-34, baru-baru ini, hakikatnya kemenangan dua nama dalam sesebuah pertandingan bukanlah perkara asing baik dalam dunia seni mahupun sukan.

Naqiu, Hady Mirza

GEGAR Vaganza musim keenam (GV6) juga mempunyai kejutan apabila dua peserta, Naqiu dan Hady Mirza diumumkan sebagai juara bersama pada konsert akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam. Pengumuman tersebut mengejutkan ramai, terutama peminat tegar rancangan realiti tersebut kerana itu juga merupakan sejarah baharu dalam pertandingan tersebut. Sebagai juri,

Datuk Ramli MS menjelaskan kemenangan diputuskan bersandarkan pemarkahan. Alasan juri mengangkat kedua-dua penyanyi itu sebagai juara adalah kerana persembahan dan markah diperoleh kedua-duanya adalah sama.

Mutaz Essa Barshim, Gianmarco Tamberi

ARENA sukan juga tidak kurang hangat apabila dua atlet temasya Olimpik 2020 di Tokyo berkongsi podium untuk menerima pingat emas dalam acara lompat tinggi.

Catatan tersebut dikongsi atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim, dan atlet Itali Gianmarco Tamberi yang seri selepas melepasi ketinggian 2.37 meter dan masing-masing perlu mengatasi ketinggian 2.39 meter untuk menjadi juara.

Namun, mereka berdua gagal dalam tiga cubaan bagi melepasi ketinggian tersebut sehingga pengadil memutuskan kedua-duanya layak membawa pulang pingat emas. Kejuaraan yang dikongsi bersama itu disambut masyarakat dunia penuh syahdu bahkan terus diperkatakan hingga ke hari ini kerana melambangkan semangat kesukanan sebenar.

Syafiq Kyle, Syazwan Zulkifly

Momen yang masih segar dalam ingatan ramai adalah ketika aktor senior Faizal Hussein mengumumkan pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada acara yang berlangsung di Kota Media Angkasapuri, hujung minggu lalu.

Momen tersebut mengejutkan ramai apabila Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly yang bergandingan membawakan karakter adik-beradik dalam filem Blood Brother; Bara Naga naik ke pentas untuk menerima trofi kemenangan mereka.

Sama-sama menampilkan lakonan cemerlang dalam naskhah sarat aksi serta emosi, rata-rata pemerhati merestui pemarkahan diberikan juri yang melayakkan mereka berkongsi trofi.

Sudah tentu aksi kedua-duanya sama par, begitu juga dengan barisan aktor lain sekali gus membolehkan naskhah arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu memugut RM72 juta dalam tempoh 33 hari tayangan.

Arshad Mahuri, Pyan Habib

Sebenarnya, gandingan dua pemenang menjulang satu trofi dalam FFM pernah berlaku pada FFM6 iaitu sekitar tahun 1986 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) atau kini World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL).

Ketika itu, dua pelakon filem Tsu Feh Sofiah iaitu Arshad Mahuri dan Pyan Habib diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang meraih sorakan gemuruh seluruh dewan.

Biarpun itu merupakan sejarah pertama dua penerima trofi untuk satu kategori, ramai memberikan maklum balas positif berikutan kualiti naskhah tersebut.

Bahkan pada edisi itu sememangnya filem berkenaan mendominasi FFM6 apabila diumumkan sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Datuk Rahim Razali) serta Skrip Terbaik.

Read Entire Article
Pertanian | | | |