PM mahu Projek LRT Mutiara diperluas hingga ke Seberang Perai

5 hours ago 4

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pandangan pembangkang yang mendakwa pembangunan projek transit aliran ringan (LRT) Mutiara tidak diperlukan di Pulau Pinang sebagai tidak berasas sedangkan ia bakal memanfaatkan rakyat di negeri ini.

Katanya, antara isu lain yang turut dibangkitkan ialah kos pembinaan yang tinggi serta kenaikannya dari masa ke semasa.

“Semasa projek ini dibentangkan kepada saya oleh Kerajaan Negeri, projek itu hanya merangkumi di bahagian pulau. Saya sebagai anak Pulau Pinang dan dibesarkan di Seberang Perai, saya tidak mahu projek itu tersekat di situ (pulau). Jadi, saya yang mencadangkan supaya projek LRT ini menyeberang lautan sampai ke Seberang Perai.

“Kalau projek ini dibangunkan di bahagian pulau sahaja, nanti orang kata…Anwar jaga pulau sahaja, jaga kepentingan (kaum) Cina sahaja, tak jaga seberang, tak jaga Melayu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik di antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Seberang Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pimpinan politik pembangkang perlu mengikuti perkembangan semasa.

“Jangan pakai lepas (cakap) masuk kampung, kata kos (pembinaan LRT) tidak menentu, ini polemik yang tidak menguntungkan dan apabila kita bagi penjelasan, tak mahu dengar. Sebab itu saya kata di Parlimen ini seolah-olah berdialog ‘with the deaf’, dia tak peduli.

“Jadi, ingin saya sebut sekali lagi, projek LRT ini kosnya bertambah kerana Perdana Menteri mengusulkan LRT di pulau menyeberang ke Seberang Perai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata projek LRT Mutiara bukanlah satu keperluan penting buat masa ini.

Beliau telah dua kali membangkitkan isu itu dengan alasan bahawa terdapat keutamaan lain yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |