PETALING JAYA – “Seorang anak saja, tapi sebulan RM10,000 pun tak tentu cukup,” itu luahan seorang ibu yang berkongsi pengalaman ‘dipaw’ anaknya yang sedang menuntut di sebuah sekolah tahfiz.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita berkenaan secara berseloroh berkata, dia dahulu menghantar anak ke sekolah tahfiz, bukannya sekolah matematik, namun cara anaknya ‘mengira’ duit belanja memang luar biasa.
“Dulu sis (kakak) juga hantar anak sekolah tahfiz. Bukan sekolah matematik. Lain macam kiraan dia. Sebab tak boleh makan Maggi, dia minta lebih, guys,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Kata wanita itu, setiap bulan kos perbelanjaan anaknya semakin meningkat dan ada sahaja keperluan perlu dibeli.
Menurutnya, sebab itulah dia selalu bergurau mengatakan dirinya perlu ‘kaya’ walaupun hanya mempunyai seorang anak kerana perbelanjaan bulanan anaknya sahaja sudah mencecah lima angka.
“Seorang anak ni sebulan RM10,000 pun tak tentu cukup lagi. Tak tahulah perangai siapa dia ni kuat sangat telan duit,” katanya.
Wanita itu turut menjelaskan, setiap kali ada keperluan baru di asrama, anaknya akan meminta duit bukan sahaja daripadanya malah turut ‘memukul rata’ semua ahli keluarga lain.
“Ini baru sis dia ‘paw’. Tak masuk lagi papa dia, kakak Syira dia, mama Fatin dia. Dia ‘paw’ pukul rata semua,” tulisnya.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tetap memahami tuntutan pelajaran anaknya dan berharap keadaan itu hanya sementara sehingga anaknya menamatkan pengajian.
“Nasiblah nak pergi belajar. Kalau dah habis belajar, tak kuasa lah nak layan,” selorohnya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen dan ada juga yang berkongsi pengalaman sama apabila anak tinggal di asrama dan kerap meminta duit tambahan untuk keperluan harian.
“Anak saya pun macam ini, ada shaja nak beli itu, nak beli ini. Masa tingkatan samapi tiga tak ada pula macam-macam sebab tak tinggal asrama, duduk asrama macam-macam buku nak beli, rajin benor bacanya, harap jadi budak hebat la,” kongsi Azalia.
“Okey lah anak lelaki sempoi. Kalau anak perempuan lagi banyak kot…dengan bedak, skin care (alat kecantikan wajah) dan lain-lain,” komen Razali Patalli. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2





![[VIDEO] Kucing teman penghantar makanan curi tumpuan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Tangkap-layar-hantaran-pengguna-TikTok-memaparkan-kucing-berwarja-oren-menemani-penghantar-makan-dipercayai-tuannya-mencari-rezeki..jpeg)











































