‘Tolonglah tekan butang follow, tak perlu bayar, komen’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah, Nam Ron meluahkan pandangan jujur mengenai realiti industri seni hari ini yang menurutnya sudah jauh berubah berbanding era awal pembabitannya dahulu.

Ujar Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 55, dunia hiburan kini tidak lagi berpaksikan bakat semata-mata, sebaliknya lebih tertumpu kepada angka pengikut dalam media sosial.

“Dunia hiburan sekarang tak sama macam dahulu. Dahulu pun ada pelakon yang popular kerana wajah sering keluar majalah, tapi sekarang populariti diukur melalui jumlah pengikut di Instagram.

“Kalau dahulu dipanggil pelakon majalah, sekarang dipanggil pelakon media sosial. Berdiri atas populariti, bukan bakat semata-mata,” katanya dalam hantaran Facebook.

Tambah pelakon Qifarah itu, situasi tersebut menyebabkan ramai pelakon berbakat diketepikan hanya kerana tidak mempunyai jumlah pengikut tinggi dalam media sosial.

“Sekarang pelakon yang kurang pengikut sukar dapat tawaran. Dalam proposal produksi pun mereka wajib letak jumlah pengikut pelakon.

“Kalau tak ramai pengikut, walau berbakat, mereka dianggap tidak laku. Kalau dapat pun cuma watak kecil,” luahnya.

Kata Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) itu, keadaan tersebut seperti ‘paksaan halus’ buat anak seni supaya berlumba-lumba mengumpul pengaruh dalam media sosial, bukan mengasah mutu lakonan.

“Mereka macam dipaksa secara tak langsung untuk kumpul pengikut. Kalau tidak, susah nak dapat kerja.

“Saya rasa itu sesuatu yang menyedihkan sebab ukuran nilai seni bukan lagi pada kualiti lakonan tapi pada angka pengikut,” ujarnya.

Justeru, Nam Ron berpesan kepada peminat agar terus menyokong pelakon kegemaran mereka dalam platform digital sebagai tanda sokongan moral.

“Kalau sayang pelakon kegemaran, tolonglah tekan butang ‘follow’. Tak perlu bayar, tak perlu komen setiap hari.

“Cukup sekadar follow supaya mereka terus kekal relevan dan diberi peluang berlakon,” jelasnya.

Kenyataan Nam Ron itu mendapat perhatian ramai netizen yang rata-rata bersetuju dengan pandangannya, malah menganggap situasi tersebut sebagai gambaran sebenar dunia seni masa kini yang mana bakat sebenar sering tersisih dek angka dan algoritma. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |