Bekas pemain bola sepak Kedah meninggal dunia

12 hours ago 8

ALOR SETAR – Isteri kepada bekas pemain bola sepak Kedah, Allahyarham Zamzam Abu Bakar, 51, menyifatkan pemergiannya pada Jumaat lalu akibat strok sebagai mengejutkan kerana arwah tidak mempunyai sebarang penyakit.

Norazila Din, 49, berkata, arwah yang merupakan pemain bola sepak pada zaman kegemilangan Kedah era 90-an itu bagaimanapun mengadu sakit kepala beberapa hari sebelum itu.

“Arwah suami tidak ada penyakit apa, darah tinggi pun tak ada cuma dia mengadu sakit kepala tapi bila makan ubat sembuh sikit. Tapi pada Jumaat, pukul 2 pagi arwah alami sakit kepala yang amat sangat sebelum muntah-muntah.

“Saya bawa ke hospital di Perlis untuk rawatan dan pada pukul 10.30 malam hari yang sama, suami disahkan meninggal dunia. Ini amat menyedihkan namun saya dan anak-anak reda kerana arwah meninggal dunia pada hari yang mulia dan pemergiannya juga mudah. Senang saja perjalanannya ke alam abadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Norazila, Allahyarham Zamzam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Masjid Changlun dalam daerah Kubang Pasu pada keesokan harinya pada pukul 11.30 pagi.

Allahyarham yang pernah menyarung jersi hijau kuning pada posisi penyerang di samping pemain Radhi Mat Din, Azmi Mahmud dan Nidzam Adzha itu meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Norazila menambah, mereka sekeluarga juga amat terharu dengan sokongan yang diberikan orang ramai terutama selepas kematian suaminya itu.

“Saya terharu kerana banyak mendoakan arwah dan bercerita baik tentang arwah. Dia seorang suami dan bapa yang penyayang serta bertanggungjawab malah arwah juga menjaga sepenuhnya bapa saya yang terlantar kerana strok sejak dua tahun lepas.

“Selain itu, arwah suka tolong orang dan rajin bersedekah mungkin itu amalannya menyebabkan ramai sayangkan dia,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Norazila, dia turut bersyukur kerana berada di sisi arwah sehingga akhir nafasnya.

“Saya dijadualkan ke Madrid pada Sabtu itu untuk satu konvensyen sebelum arwah jatuh sakit, kalau tidak saya tidak tahu bagaimana jadinya,” tambahnya.

Tambahnya, arwah menjalankan perniagaan ayam sejak meninggalkan dunia bola sepak pada 2002 setelah skuad hijau kuning itu menempa kegemilangan pada era 90-an. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |