Penglibatan GLC, GLIC dalam TVET pelaburan strategik – Ahmad Zahid

9 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya penglibatan itu merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang memberi pulangan langsung kepada syarikat selain menjamin daya saing ekonomi negara.

Katanya, langkah itu penting untuk memastikan Malaysia melahirkan tenaga kerja mahir berdaya saing bagi memenuhi permintaan industri semasa dan masa hadapan.

“TVET bukan sahaja melahirkan pekerja mahir, malah membentuk modal insan berdaya saing yang mampu menghadapi cabaran baharu termasuk digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat anjuran Sekretariat Majlis TVET Negara bersama GLC dan GLIC di Sunway Putra Hotel, hari ini.

Sesi itu merupakan susulan keputusan Jemaah Menteri pada 2 Julai lalu yang bersetuju agar GLC dan GLIC memainkan peranan lebih aktif dalam menyediakan peluang latihan kepada pelajar TVET, sekali gus menyokong peralihan TVET daripada model dipacu kerajaan kepada model dipacu industri.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada empat dimensi utama iaitu pelaburan langsung dalam pembangunan TVET, penglibatan strategik dalam reka bentuk kurikulum, penyediaan peluang latihan industri, biasiswa dan penempatan kerja, serta penerajui kerjasama berimpak tinggi.

Program berkenaan turut disertai syarikat besar seperti Petronas, Telekom Malaysia, Prasarana Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Malaysia Aviation Group, manakala Khazanah Nasional Berhad mewakili GLIC.

Turut hadir lima agensi kerajaan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, selain institusi TVET seperti Politeknik, Kolej Vokasional, ADTEC, GiatMara serta Universiti DRB-HICOM.

Sekretariat Majlis TVET Negara percaya kejayaan TVET hanya boleh dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan.

Dengan semangat kolaborasi ini, negara mampu melahirkan tenaga kerja cekap, inovatif dan bersedia meneroka peluang baharu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |