Bicara kes harta pusaka dalam talian paling banyak di Kelantan

10 hours ago 8

KOTA BHARU – Pembahagian harta pusaka kepada waris atau ahli keluarga merupakan antara kes yang paling banyak dibicarakan secara dalam talian di Mahkamah Syariah Kelantan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Datuk Ibrahim Deris berkata, perbicaraan secara dalam talian itu melibatkan kes pembahagian faraid, wasiat dan hibah bagi harta pusaka apabila ahli keluarga atau waris sudah hidup bertebaran di lokasi luar Kelantan.

Menurutnya, pembahagian harta dikategorikan sebagai kes mal iaitu tuntutan yang berkaitan dengan hal-hal kekeluargaan dan harta benda apabila prosedurnya melibatkan ramai saksi atau waris sekali gus urusan tersebut dipermudahkan untuk dibicarakan secara dalam talian.

“Kes-kes faraid misalnya akan membabitkan cucu dan cicit daripada banyak lapisan ahli keluarga. Keadaan itu menyebabkan kesukaran atau mengambil masa yang mana untuk berkumpul.

“Jadi, apabila ada perbicaraan Mahkamah Syariah secara dalam talian, ia memudahkan semua pihak. Kita akan hantar notis kepada saksi terlibat berdasarkan alamat mereka dan perbicaraan secara dalam talian dapat dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dewan Mahkamah Teknologi Mahkamah Syariah yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud di Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, perbicaraan secara dalam talian bagi kes pembahagian harta pusaka juga dapat menjimatkan masa prosidingnya daripada setahun kepada dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Menurutnya, bagaimanapun, keadaan itu bergantung kepada dokumen dan keterangan waris yang mencukupi sebelum tempoh perbicaraan dapat disingkatkan melalui prosiding secara dalam talian.

“Isu mengenai kes harta pusaka yang tertunggak itu berlaku apabila waris tidak memulakan prosedur pembahagian sehingga berlaku lapisan generasi ahli keluarga.

“Sekiranya, perbicaraan dijalankan secara dalam talian, ia boleh mempercepatkan urusan tersebut sekali gus mengelakkan kes-kes tertunggak,” katanya.

Terdahulu, Ibrahim dalam ucapannya berkata, Kelantan menjadi negeri kedua selepas Sarawak yang memiliki kemudahan Mahkamah Teknologi Syariah di negara ini sekali gus membolehkan prosiding perbicaraan dilakukan secara dalam talian.

Menurutnya, kemudahan itu selari dengan era digital yang menuntut sistem kehakiman Syariah bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.

“Penggunaan teknologi mendapat kelulusan Mesyuarat Jamaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Bilangan 2 2021 yang memberi panduan jelas penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam prosiding Mahkamah Syariah.

“Prosiding atas talian hanya dibenarkan bagi kes-kes mal sahaja manakala kes-kes jenayah Syariah tidak dibenarkan dijalankan secara maya. Hal ini bertujuan memastikan tatacara kehakiman dan kedudukan hukum tetap terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |