MUAR – Perbuatan keji seorang peniaga makanan ringan memperkosa anak angkat kepada adik iparnya tiga tahun lalu terbalas apabila dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 32 tahun selepas mahkamah meneliti dan mengambil kira hujahan serta rayuan kedua-dua pihak bagi mensabitkan tertuduh dengan kesalahan itu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Batu Pahat, pada pukul 3 pagi, pada April 2022.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengetua sekolah mangsa pada 13 Ogos lalu memaklumkan pelajar itu dirogol abang iparnya yang juga tertuduh.
Siasatan awal polis mendapati mangsa ada anak angkat kepada adik ipar tertuduh dengan kejadian berlaku ketika remaja itu terjaga dan ke tandas untuk membuang air.
Ketika itu, tertuduh berada di ruang tamu sambil menonton televisyen. Bagaimanapun tertuduh mengekori mangsa ke dalam biliknya sebelum menarik seluar mangsa.
Pada masa sama, tertuduh menutup mulut mangsa dengan tangan agar jeritannya tidak didengari ahli keluarga lain.
Mangsa pernah menceritakan kejadian ini kepada ibu angkatnya namun tidak diendahkan sebaliknya dituduh membuat fitnah.
Kejadian itu terbongkar apabila pihak sekolah menjumpai nota ditulis mangsa berkaitan kes ini. Selepas ditanya, mangsa menceritakan kejadian itu sebagai pihak sekolah, lalu membuat laporan polis.
Laporan dibuat pada pukul 11.03 pagi, 1 September lalu dengan mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-KOSMO! ONLINE