MADA rancang zon baharu ‘MADA Plus’ ganti tanah sawah hilang

11 hours ago 8

PETALING JAYA – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka memperoleh semula lebih 10,000 hektar tanah sawah baharu melalui cadangan peluasan kawasan dikenali sebagai ‘MADA Plus’, susulan kehilangan lebih 15,000 hektar tanah pertanian utama di Kedah akibat pembangunan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, kawasan terjejas di Jitra, Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan sebelum ini merupakan sebahagian daripada zon teras MADA seluas 100,000 hektar.

Namun jelasnya, ia telah diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan bandar oleh kerajaan negeri.

“MADA Plus ini adalah (kawasan) luar (seliaan) MADA dan skim pengairannya di bawah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) jadi kawasan ini kita telah pohon ada 39 (kawasan) skim berjumlah 10,038.4 hektar.

“MADA Plus ini ada (sebanyak) 39 skim, (daripada jumlah itu) lima skim sudah di peringkat akhir untuk kita dapat kelulusan exco melibatkan jumlah 1,531.4 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC) di sini, hari ini.

Dr. Ismail menjelaskan kawasan yang diurus JPS itu, terletak di beberapa daerah termasuk Pokok Sena dan sebahagian Kubang Pasu, kini berada di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan belum diiktiraf sebagai sebahagian daripada zon MADA.

Katanya, walaupun Kabinet telah bersetuju dengan permohonan Kedah untuk membangunkan tanah asal MADA, usaha berterusan tetap dijalankan bagi mengekalkan keluasan sawah padi melalui inisiatif MADA Plus.

Semalam, MADA memaklumkan pihaknya mengenal pasti hampir 10,000 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaannya, yang berpotensi untuk digantikan dengan pembangunan lain termasuk perumahan dan industri.

Ketika ini, MADA memiliki kira-kira 100,000 hektar kawasan tanaman padi dan telah menjalankan usaha meluaskan kawasan itu, termasuk di luar kawasan MADA.

Terdahulu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju agar status kawasan tanaman padi di bandar utama di negeri itu ditukar bagi tujuan pembangunan perumahan dan industri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |