Segamat, Batu Pahat dimasukkan dalam peta bencana

9 hours ago 7

SEGAMAT – Daerah Segamat dan Batu Pahat disaran dimasukkan dalam peta bencana atau hazard seismik yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada masa akan datang.

Menurut Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat, Ir Muhamad Yusri Zainal,
tujuan pemetaan itu bagi membolehkan struktur bangunan di daerah tersebut direka bentuk dengan ciri ketahanan lebih kukuh.

“Sejak September 2017, semua bangunan kerajaan dan jambatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 1 hingga 5 telah mengambil kira faktor seismik dalam reka bentuk berpandukan peta bencana yang diguna pakai ketika ini.

“Namun berdasarkan semakan terkini, Segamat tidak termasuk dalam peta hazard tersebut. Batu Pahat juga antara kawasan yang wajar diberikan perhatian kerana turut terkesan dengan gegaran.

“Oleh itu, JKR mengesyorkan supaya MET mengemas kini hazard map agar kedua-dua daerah ini dimasukkan dalam senarai.

“Ini penting kerana apabila kawasan berada dalam peta bencana, reka bentuk bangunan di situ mesti mematuhi piawaian MSEN 1998 National Annex termasuk penggunaan konkrit gred tinggi dan perincian keluli lebih kukuh,”katanya ketika ditemui di Pejabat JKR Segamat di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Ujarnya, JKR sentiasa komited bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk hospital, kolej komuniti serta pihak berkuasa tempatan dalam memastikan keselamatan awam ketika berlaku bencana alam seperti banjir mahupun gegaran.

“Johor pernah mengalami kejadian gegaran pada tahun 1922 dan insiden terkini di Segamat membuktikan perlunya peta hazard seismik dikaji semula agar lebih tepat serta menyeluruh.

“Kerja-kerja pemulihan bangunan kerajaan yang terjejas akibat gegaran itu akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada kementerian atau jabatan berkaitan sebelum ditawarkan melalui proses tender,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |