Misi Kopetro mahu disenarai dalam koperasi premier

9 hours ago 7

Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) yang terdiri daripada kakitangan Petronas dan anak-anak syarikatnya, aktif sejak 45 tahun penubuhannya telah menjadi sebuah koperasi yang aktif menyumbang kepada pertumbuhan gerakan koperasi di negara ini.

Melalui perniagaan yang diuruskan, pelbagai anugerah telah dicapai menjadikan empayar tersebut popular dengan kecemerlangannya menawarkan skim pembiayaan yang pelbagai selain mengumumkan kadar dividen tinggi yang memberi pulangan kepada setiap anggota.

Untuk mengekalkan kejayaan itu, bukan boleh dianggap mudah oleh perwakilan,lembaga dan khususnya juga bagi Pengerusinya, Ahmad Nizam Abdul Latif yang juga seorang kakitangan Petronas sejak 23 tahun lalu.

Anak muda yang berwawasan tinggi dan bertenaga itu memiliki pelbagai pelan perancangan untuk menaikkan imej Kopetro agar ia terus melangkah ke peringkat premier sekali gus meletakkan empayar itu setanding dengan koperasi mega di negara ini.

Beliau melihat setiap sokongan anggota dengan melaburkan setiap ringgit di dalam Kopetro akan digunakan sebaiknya untuk mengembangkan perniagaan koperasi dan meningkatkan pulangan.

“Ini adalah semangat sebenar koperasi iaitu daripada anggota untuk anggota,” katanya dalam selepas majlis penyampaian hadiah Kempen Tambah Syer dan Menang di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang kempen terbaharu anjuran Kopetro?
AHMAD NIZAM: Kempen ini pertama kali dianjurkan sejak 45 tahun koperasi ini ditubuhkan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada anggota.

Pada mulanya kami agak skeptikal terhadap program ini, takut jika tidak mendapat sam­butan daripada anggota.

Namun, melalui usaha kami yang sentiasa mempromosi dan memaklumkan perkembangan terkini, ia membantu kami mencapai misi tersebut.

Kempen ini telah berlangsung sejak tahun lepas iaitu bermula 15 Ogos 2024 hingga 31 Mei lalu dan seramai 65 anggota terpilih sebagai pemenang.

Apakah tujuan kempen tersebut dan berapa banyak dana yang berjaya dikumpul?
Ia bertujuan untuk menggalakkan anggota menambah pelaburan syer sebagai tanda keyakinan mereka terhadap koperasi.

Sebagai penghargaan kepada anggota yang setia selama ini, kami telah menawarkan hadiah menarik kepada pemenang dan antara lain berupa hadiah kereta Perodua Axia, motosikal basikal road bike dan juga baucar Setel.

Melalui kempen ini juga, kami berjaya mengumpul RM3.2 juta yang mana ia adalah melebihi daripada sasaran awal koperasi.

Berapa ramai anggota koperasi sekarang dan apakah pelan untuk menambah keanggotaan lagi meman­dangkan Petronas memiliki bilangan pekerja yang ramai yang dianggarkan seramai lebih 50,000 orang?
Sehingga kini, Kopetro memiliki seramai 15,000 anggota yang mana kira-kira 30 peratus daripada pekerja Petronas menyertai koperasi ini. Kami dapati pekerja baharu agak kurang cakna tentang Kopetro dan manfaat yang diperoleh mereka jika menjadi anggota.

Jadi di sini banyak ruang dan peluang untuk kami menambah jumlah anggota dan pelbagai perancangan yang sedang dan akan kami laksanakan untuk menambah ahli. Kami menyasarkan kira-kira 100 anggota baru setiap bulan.

Apakah perniagaan teras Kopetro?
Kami terlibat dalam tiga perniagaan utama iaitu perkhidmatan kewangan, segmen tenaga dan hartanah selain segmen pelancongan dan makanan.

Penyumbang utama kepada pendapatan koperasi adalah yuran keanggotaan dan juga per­khidmatan kewangan yang mana kami menawarkan pelbagai jenis pembiayaan kepada anggota.

Setiap bulan dianggarkan dianggarkan kami agihkan pem­biayaan bernilai antara RM7 juta hingga RM10 juta.

Kami juga terlibat dalam perniagaan Ar Rahnu yang mana segmen ini juga menjadi penyumbang besar kepada pendapatan koperasi. Buat masa ini, kami memiliki empat cawangan dan ia dikenali sebagai Ar Rahnu Kita. Perkhidmatan ini terbuka kepada semua masyarakat di luar sana.

Melihat kepada pencapaian baik Kopetro sejak 45 tahun lalu, adakah ini menjadi antara faktor kejayaannya dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Koperasi Terbaik 2025 dalam satu majlis di Melaka baru-baru ini?
Pencapaian ini menegaskan lagi kedudukan Kopetro sebagai sebuah koperasi yang berdaya saing, berinovasi dan berdaya saing.

Bagi saya, anugerah ini membuatkan kami lebih bermotivasi kerana ia memberi penghargaan kepada kami atas pelbagai dugaan yang ditempuhi selama ini dan kini kejuaraan ini juga menjadi cabaran buat kami untuk mengekalkan kejayaan sebagai pemenang tempat pertama.

Sebagai Pengerusi Ko­petro yang baharu, apakah pelanperancangan anda?
Perjalanan seterusnya yang akan saya bawa Kopetro adalah berada ditahap prestasi yang lebih tinggi, lebih cemerlang dan mahu meletakkan ia di dalam kumpulan koperasi premier.

Buat masa ini terdapat enam koperasi tergolong dalam kumpulan itu dan antaranya adalah Bank Rak­yat, Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP) dan juga Koperasi Peserta Felcra Berhad.

Saya sasarkan Kopetro boleh berada dalam kumpulan tersebut dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Bila berada dalam kumpulan tersebut, ia akan memberi ruang yang lebih luas buat kami untuk meluaskan perniagaan sedia ada kami.

Sekali gus ia akan menjenamakan Kopetro dengan imej yang lebih tinggi, malah melonjakkan keyakinan anggota dan masyarakat terhadap kami khususnya perniagaan dan produk yang ditawarkan di pasaran semasa.

Ketika itu juga kami akan terus mengekalkan kegemilangan tersebut selain bercadang untuk membangunkan sebuah Wisma Kopetro untuk pelan jangka panjang kami. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |