Dokumen tulisan tangan Zara Qairina dikemukakan prosiding inkues

3 hours ago 4

KOTA KINABALU – Sebanyak 15 helaian kertas, empat buah buku nota dan dua buah buku teks dikemukakan oleh pemeriksa dokumen daripada Jabatan Kimia Malaysia pada inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Saksi tersebut, Nurul Atiqah Mohd Noh daripada Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya memaklumkan Mahkamah Koroner, beliau menerima kesemua bahan bukti tersebut pada 20 Ogos lalu daripada pegawai polis, Inspektor T. Desmond.

Salah satu daripada helaian kertas itu diterima daripada ahli kimia Bahagian DNA Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Sedon.

Nurul Atiqah ketika membaca penyataan saksinya menyatakan, beliau telah membuat perbandingan di antara tulisan-tulisan yang dipertikaikan dengan tulisan contoh (tulisan milik Zara) termasuk menggunakan peralatan saintifik Video Spectral Comparator.

Tulisan contoh Zara Qairina diperoleh sebuah buku nota, buku teks Bahasa Melayu (Modul Pentaksiran Bilik Darjah) Tingkatan 1 KSSM dan buku Science (Pentaksiran Formatif & Sumatif) Tingkatan 1 KSSM.

Selepas perbandingan dibuat, saksi menyatakan sebahagian besar tersebut adalah milik Zara Qairina manakala terdapat juga dokumen yang mempunyai campuran tulisan di antara remaja terbabit dengan seorang individu lain dan terdapat juga dokumen tidak ditulis oleh remaja itu.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada “W3” (salah sebuah buku nota) pada muka surat 3 hingga 6, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103 menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan “SA”. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada “W3” pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan “SA”.

“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis ditulis oleh penulis contoh.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada “W3” pada muka surat 1 adalah campuran tulisan tangan penulis contoh dan seorang yang lain,” katanya.

Prosiding yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan masih lagi berjalan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |