DI India, pelakon televisyen dan filem ibarat dua kasta berbeza. Untuk tembus ke Bollywood, seseorang pelakon itu mestilah memiliki rupa paras menawan serta aura sebagai bintang filem.
Justeru, tidak semua pelakon di India layak beraksi di layar perak. Namun perkara tersebut tidaklah mustahil. HibGlam senaraikan empat bintang filem Bollywood yang bermula sebagai pelakon drama televisyen.
Yami Gautam
Pelakon jelita ini debut sebagai pelakon menerusi drama bersiri Chand Ke Paar Chalo pada 2009.
Dek kerana wajahnya yang jelita, dia menjadi pilihan ramai pengarah untuk membintangi pelbagai drama.
Populariti yang diraih Yami mula dipandang penerbit filem Bollywood dan akhirnya dia ditawarkan membintangi Vicky Donor di samping Ayushman Khuranna pada 2012.
Lima tahun kemudian, Yami disunting menjadi heroin Hrithik Roshan dalam filem Kaabil. Menerusi filem itu dia tampil sebagai gadis buta yang berkahwin dengan jejaka cacat penglihatan lakonan Hrithik.
Selepas kejayaan Kaabil, Yami dihujani pelbagai tawaran filem. Antara yang mendapat perhatian ramai adalah OMG 2 dan Chor Nikal Ke Bhaga.
Shah Rukh Khan
Sebelum berjaya sebagai pelakon filem dan digelar King of Khan, Shah Rukh terlebih dahulu bermula sebagai pelakon televisyen.
Shah Rukh memulakan debut dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri Fauji pada 1989. Kemudian dia membintangi beberapa lagi drama antaranya Circus, Idiot dan Wagke Ki Duniya.
Hanya pada 1991 dia mengambil keputusan untuk terjun ke dunia perfileman. Karya pertama lakonannya adalah Deewana yang ditayangkan pada 1992. Dalam filem tersebut dia bergandingan dengan mendiang Divya Bharti.
Bakat Shah Rukh sebagai bintang filem mula menjadi bualan selepas menjayakan watak antagonis dalam filem pecah panggung Baazigar dan Darr yang ditayangkan pada 1993. Sehingga kini, aktor berusia 59 tahun itu sudah membintangi ratusan filem yang majoriti mencatat kutipan tinggi dan tidak terbanding sesiapa.
Irrfan Khan
Siapa yang tidak mengenali Irfan Khan yang bukan sahaja berjaya di Bollywood, malah bakatnya turut diangkat sehingga ke Hollywood.
Sebelum membintangi filem Hollywood seperti Life of Pi, The Amazing Spiderman dan Jurassic World, Irrfan merupakan pelakon televisyen popular di India.
Sebenarnya langkah pertama Irrfan dalam bidang seni bermula dengan pembabitannya secara kecil-kecilan dalam filem Bollywood. Malangnya babak lakonannya dalam filem pertama, Salaam Bombay dipotong. Kerjaya Irrfan lebih menyerlah di televisyen apabila membintangi banyak drama popular. Selepas menempa populariti di kaca televisyen, bakatnya mula dipandang dan ditawarkan membintangi filem.
Antara filem Irrfan yang mendapat perhatian adalah Life In A Metro, Slumdog Millionaire, Haider dan Gunday. Iffran meninggal dunia pada 2020 akibat kanser.
Sushant Singh Rajput
Mendiang Sushant Singh Rajput mula meraih perhatian rakyat India selepas membintangi drama bersiri popular, Pavitra Rishta pada 2009.
Sebelum itu, Sushant memulakan langkah sebagai penari latar filem Bollywood termasuk Dhoom 2.
Susulan populariti luar biasa yang diraihnya menerusi drama Pavitra Rishta, Sushant ditawarkan membintangi filem Kai Po Che pada 2013.
Filem tersebut mendapat sambutan hangat malah lakonannya dihujani pujian. Kemudian dia membintangi filem pecah panggung, PK bersama Aamir Khan pada 2015.
Naskhah lakonan Sushant yang paling mendapat perhatian adalah filem biopik M.S Dhoni: The Untold Story. Dia melakonkan watak pemain kriket popular itu, namun pada 2020 Sushant mengambil keputusan untuk menamatkan riwayatn