PETALING JAYA – Seramai 27,674 orang pelajar ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 untuk kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam (UA) dan politeknik bagi sesi Oktober ini.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, tawaran melibatkan peruntukan berjumlah RM41.5 juta itu sebagai persiapan awal memasuki UA dan politeknik.
Selain itu ia juga bertujuan meringankan beban kewangan di samping menjaga kebajikan para pelajar.
Menurut PTPTN, pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN dan boleh ditebus di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai Rabu depan.
“Pelajar hanya perlu membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
“Tempoh sah laku WPP selama dua bulan bermula 24 September hingga 23 November ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PTPTN berkata, tawaran itu diberikan kepada pelajar warganegara yang memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal kemasukan.
Selain itu, tawaran turut diberikan bagi ibu bapa atau penjaga pelajar yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Untuk rekod, semenjak diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos lalu, seramai 990,646 pelajar menerima manfaat itu dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat tentang mengenai kebajikan pelajar khususnya ketika memulakan pengajian ke menara gading.
“Kemudahan WPP yang disediakan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.
“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa serta tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian,” ujarnya.
Terdahulu, Norliza turut menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah rumah ke rumah pelajar di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 18 September lalu. – KOSMO! ONLINE