Siswa Sulung realisasi impian kembar ke menara gading

1 hour ago 2

SEBERANG PERAI – Sepasang kembar akhirnya berjaya merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM), apabila salah seorang daripada mereka berjaya memperolehi pengecualian yuran melalui program Siswa Sulung.

A’jwaa Abdul Hadi, 20, menerima tawaran program Sarjana Muda Sains Gunaan (Agrobiologi/Bioteknologi/Biologi Persekitaran/Entomologi & Parasitologi), manakala kembarnya, Najwaa, turut bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Sains Matematik dengan Kepujian.

Kata A’jwaa, dia hampir terpaksa menangguhkan pengajian kerana kekangan kewangan walaupun telah berusaha pelbagai cara termasuklah bekerja lebih masa (OT) di kilang selepas tamat matrikulasi.

“Saya rasa nak daftar pengajian pada tahun depan sebab perlu kumpul duit dulu dan tidak mahu menyusahkan ayah yang bekerja sebagai tukang kimpalan besi manakala ibu pula mengambil upah mengasuh anak jiran.

“Bagaimanapun, saya amat bersyukur dengan bantuan yang diterima ini dapat meringankan beban keluarga,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Dia berkata demikian selepas menerima kunjungan Naib Canselor USM, Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed di Kampung Guar Tuan Syed, Penaga di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahman turut menyampaikan surat tawaran Siswa Sulung kepada A’jwaa selain menyerahkan kit bantuan keperluan asas untuk kegunaan kepada pelajar baharu kepada pasangan kembar terbabit.

Katanya, pihak universiti sedia membantu pelajar yang memerlukan bantuan terutamanya berkaitan pembayaran yuran.

“Jangan bimbang tentang perkara itu, paling penting datang, lapor diri dan daftar dahulu

“Tentang pembayaran, kita akan bantu kemudian dan paling utama, kami tidak mahu kemiskinan menghalang mereka daripada menyambung pelajaran,” katanya.

Untuk rekod, USM memperuntukkan RM2.8 juta bagi 280 penerima Siswa Sulung, khusus untuk pelajar generasi pertama keluarga B40 yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2025/2026.

Menerusi peruntukan ini, pelajar akan menikmati pengecualian penuh yuran pengajian, yuran pendaftaran, yuran berulang serta pelbagai yuran akademik lain sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun di universiti berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |