SOVO Kit 2.0 UPSI tingkat kecekapan kanak-kanak belajar bahasa asing

2 hours ago 2

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini membangunkan aplikasi intereaktif SOVO Kit 2.0 bagi menggalakkan kanak-kanak mempelajari bahasa asing selain meningkatkan kecekapan mereka untuk berbuat demikian.

Ketua penyelidik, Dr. Mariyati Mohd. Nor berkata, SOVO Kit 2.0 boleh dimuat turun melalui platform Android dan Apple malah direka mesra kanak-kanak dengan penggunaan gambar-gambar menarik serta berwarna-warni.

Beliau berkata, aplikasi itu menekankan gabungan bunyi (sound) dan suara (voice) yang menghasilkan konsep SOVO sebagai medium utama pembelajaran.

“Aplikasi itu menawarkan pelbagai latihan bahasa berasaskan kemahiran mendengar, sekali gus membantu kanak-kanak atau pembelajar permulaan memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan.

“Antara bahasa yang ditawarkan adalah bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Mandarin dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SOVO Kit 2.0 dibangunkan bersama rakan penyelidik Dr. Robe’ah Yusuf, Noraziah Abdul Aziz, Noor Azalina Buang, Tan Lee Na dan Muhammad Hilmi Che Ahamad.

Mariyati berkata, penyelidik yang terbabit daripada pelbagai latar belakang kepakaran bahasa asing yang membolehkan SOVO Kit 2.0 dibangunkan dengan kandungan yang lebih autentik, menyeluruh dan sesuai dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak

“Melalui penggunaan kit ini, kami yakin proses pembelajaran bahasa dapat diperkukuh sejak usia muda, sekali gus membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia global,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mazura Muhammad menyifatkan projek itu sebagai satu usaha yang bermakna dan bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat khususnya Generasi Z yang lebih cenderung dan terdedah kepada dunia digital dan kepelbagaian bahasa.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan bahasa asing sejak peringkat awal tetapi juga menyemai minat dan keterbukaan generasi muda untuk berinteraksi dalam persekitaran global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |