PETALING JAYA – Dikecam gara-gara menjadi pembawa dulang hantaran pada majlis pernikahan sahabatnya, Amira Othman, penyanyi Nabila Razali mengakui tidak terkesan selain menegaskan kehadirannya untuk meraikan hari bahagia rakannya itu.
Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd. Razali, 32, memilih untuk tidak ambil peduli terhadap sebarang kecaman atau spekulasi yang timbul selepas acara berkenaan berlangsung minggu lalu.
“Bagi saya setiap orang ada pendapat masing-masing, lain orang, lain dia punya pendapat.
“Macam saya, saya berada di situ untuk meraikan hari yang paling bahagia untuk kawan baik saya, Amira Othman yang akhirnya bertemu dengan pasangan hidupnya.
“Apa jua yang orang cakap mengenai majlis perkahwinan dan juga tentang kami yang menjadi sebahagian besar pada majlis itu, saya hanya mampu baca dan tolak ke tepi sebab niat saya berada di situ kerana mahu berkongsi kegembiraan,” katanya.
Malah, pelantun lagu Peluang Kedua itu tidak menghalang keputusan segelintir pihak mahu memboikot karya nyanyiannya.
“Jadi kalau cakap fasal boikot atau apa, terserah. Bagi saya, kita juga tak boleh paksa orang dengar lagu kita.
“Saya tiada sebarang kebencian terhadap orang yang membenci saya atau sesiapa yang berkaitan,” ujarnya.
Mengimbas kembali detik awal mengetahui berita perkahwinan Amira dengan pelakon Fattah Amin, dia menerima khabar tersebut ketika beraya di rumah rakan artis, Hael Husaini pada bulan April lalu.
“Saya dapat tahu mereka nak berkahwin pada hari raya lalu ketika kami beraya di rumah Hael Husaini. Waktu saya dengar berita itu, saya memang sangat gembira, nak menangis pun ada.
“Ketika dia beritahu saya untuk jadi pembawa dulang pun, saya macam tak percaya, saya ingatkan gosip saja sebab saya tak sangka dia akan berpasangan dengan orang dalam industri juga.
“Saya rasa dia tak nak. Saya mula ingat dia main-main, hanya gosip tapi rupa-rupanya betul dan saya gembira untuk dia,” jelasnya.
Meskipun tidak terlalu rapat, Nabila yakin Amira seorang yang sangat berhati-hati dalam membuat keputusan, termasuk soal memilih pasangan hidup.
“Sejujurnya saya tidaklah rapat sangat seperti tidur sebantal atau setiap hari berjumpa.
“Kami berkenalan selepas kami menyertai program realiti dan mengenali Amira, dia memang berhati-hati dalam memilih pasangan, kalau memilih lagu pun dia berhati-hati, apatah lagi pasangan.
“Jadi saya gembira akhirnya dia berjumpa pasangan hidupnya dan dia jumpa apa yang dia nak,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kecoh dalam aplikasi Threads apabila ada sesetengah netizen yang mahu memboikot pembawa dulang Amira seperti Nabila, Ernie Zakri, Anzalna Nasir, Wany Hasrita, Qasrina dan Hawa Rizwana.
Selain menyifatkan mereka sebagai talam dua muka kerana turut baik dengan bekas isteri Fattah iaitu Fazura, mereka juga mengancam mahu memboikot lagu-lagu penyanyi berkenaan. – KOSMO! ONLINE