PETALING JAYA – Sabah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (Pameran Matta) di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.
Pameran yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 7 September lalu dan melibatkan penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah telah mencatat jualan menggalakkan sebanyak RM5.1 juta.
Pencapaian ini telah mencipta rekod baharu dengan jualan bertambah sebanyak 14.2 peratus berbanding penyertaan pada April 2025 dan 46.8 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB),Julinus Jeffrey Jimit berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan luar biasa pengunjung penyertaan Sabah di Pameran Matta Kuala Lumpur yang mana acara ini membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah.
“Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Acara dwi tahunan ini menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran di Dewan MITEC, Kuala Lumpur.
Delegasi utama Sabah diketuai oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.
Pada acara tersebut, Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau.
Selain itu, Julinus menerangkan, melalui pembelian pakej baharu ini, pengunjung berpeluang untuk menebus rebat tunai istimewa serta barangan edisi terhad STB, tertakluk kepada terma dan syarat.

Tambah beliau, STB juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI).
“Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan.
“Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi dan pengalaman Realiti Maya (VR) dan juga persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya.

Penyanyi terkenal dari Sabah, Dabra Sia, turut membuat persembahan lagu-lagu popular beliau sambil mengajak pengunjung menari bersama.
Turut diumumkan dalam pameran itu ialah penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober 2025, yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn Bhd.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong.
Negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mencari keindahan alam semula jadi yang luar biasa, kepelbagaian budaya yang kaya, serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan.