
- Oleh ASLIZA MUSA
- 20 September 2025, 4:04 pm
GERIK – Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 100 ekor kambing jenis Boer dari Thailand ke dalam negara menerusi Operasi Bersepadu Khazanah berhampiran Royal Belum Rainforest dekat Banding, di sini semalam.
Operasi disertai Jabatan Veterinar Cawangan Taiping dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik itu bermula pukul 4.30 petang hingga 5 pagi.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam operasi itu, dua lelaki warga tempatan berusia 28 dan 41 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pasukan operasi mengesan kegiatan penyeludupan haiwan yang diseludup masuk dari Thailand dan dipasarkan secara tidak sah di pasaran tempatan sejak tiga bulan lalu. Cawangan Risik Batalion 18 berjaya mengesan sebuah lori berwarna putih yang disyaki membawa muatan kambing dari Thailand dan dalam perjalanan ke utara.
“Pemeriksaan ke atas lori tersebut menemui 100 ekor kambing baka Boer dan sitaan dibuat ke atas haiwan itu dan kenderaan membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM260,000 dan kes dijalankan di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647),” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE