DRAMA air mata, wanita teraniaya dan mangsa keganasan rumah tangga sudah menjadi lumrah dalam drama tempatan.
Bahkan drama-drama sebegini sering mendapat perhatian dan mencapai rating yang tinggi. Selain jalan cerita yang mungkin dekat dengan penonton, ada kalanya ‘kebodohan’ watak wanita teraniaya membikin penonton geram.
Biarpun dianggap klise, hakikatnya watak naif yang begitu lurus memang wujud dalam masyarakat. Gala! menyenaraikan watak-watak wanita teraniaya yang membuatkan penonton geram kerana kenaifannya.
- Hannah Delisha – Aleya
Dalam drama popular, Andai Itu Takdirnya, aktres Hannah Delisha membawakan watak Aleya seorang gadis yang jatuh cinta dengan Syed Adam Aizril (Shukri Yahaya) anak seorang tokok korporat.
Malang menimpa selepas mereka berkahwin, Aleya bukan sahaja menjadi mangsa keganasan rumah tangga, malah sanggup menerima semula suaminya yang sakit akibatkan kemalangan tetapi hanya untuk dicurangi.
Apa yang membuatkan penonton geram adalah watak Aleya yang dilihat terlalu baik dan menerima sahaja takdirnya.
Sudah bergaduh, dihina dan dipukul, tetaplah berbaik semula dengan suaminya seperti tidak logik. Di mana Aleya meletakkan perasaannya?
Namun, drama ini mendapat sambutan hangat penonton dan bakal menjalani penggambaran musim kedua tidak lama lagi.
- Ezzanie Jasny – Nuha
Pelakon Ezzanie Jasny mula menarik perhatian khalayak dengan watak Nuha dalam Dia Bukan Syurga, seorang wanita mangsa penderaan mental dan fizikal suaminya yang panas baran serta cemburu buta.
Sepanjang penceritaan, Nuha sebagai isteri, asyik menanggung penderaan mental dan fizikal yang membuatkan penonton tidak senang duduk.
Kebangkitan Nuha yang akhirnya menemui kebahagiaan bagaimanapun mengubat geram penonton yang boleh tersenyum dengan pengakhiran deritanya selaka ini.
- Umie Aida – Chempaka
Drama Keluarga Itu meraih perhatian kerana jalan cerita yang agak sensitif iaitu ‘haruan makan anak’, tetapi apa yang membikin penonton geram adalah watak Chempaka lakonan Datin Paduka Umie Aida.
Chempaka sebagai ibu dikecam penonton sebagai buta atau terlalu percaya suami sehingga tidak menyedari anak-anaknya menjadi mangsa nafsu suaminya sendiri.
Mujur di hujung drama, Chempaka membalas kembali perbuatan suaminya dengan menendang kepala Iman lakonan Datuk Rosyam Nor. Baru puas hati dibuatnya.
- Ummi Nazeera – Suri
Aktres Ummi Nazeera memang terkenal dengan watak wanita baik, teraniaya dan air mata. Namun, dalam drama Andai Tiada Dia, ramai penonton geram kerana kebaikannya yang dirasakan tidak bertempat.
Sudahlah suami dirampas oleh adik sendiri, meski sedih watak Suri ini masih boleh ‘cool’, tetapi penonton yang panas hati.
Rata-rata penonton naik hantu melihat kejahatan adik Suri yang dilakonkan oleh Mimi Lana dan Alicia Amin dan dalam masa sama geram dengan sikap penyabar serta baik Suri.