‘Lori lalu, rumah kami bergoyang’

8 hours ago 6

PONTIAN – Kende­raan berat yang menggunakan laluan pekan Nanas-Tanjung Piai-Jambatan Sungai Pulai meresahkan penduduk apabila beberapa rumah mula retak akibat gegaran.

Penduduk mendakwa jalan tersebut kini ‘tidak tidur’ kerana menjadi laluan lori, treler dan lori tangki membawa pelbagai barangan ke kawasan Perindustrian Tanjung Bin dan Singapura.

Jamilah Talib, 63, berkata, setiap hari apabila kenderaan berat itu lalu di hadapan rumahnya akan terasa bergoyang.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kediamannya retak terutama pada bahagian jubin yang pecah selain dinding dan pintu rumah kesan gegaran tersebut.

“Hampir sebahagian besar rumah penduduk Kampung Sungai Punai yang berhampiran jalan mengalami masalah sama sejak tiga tahun lalu.

“Suami baiki rumah kami sendiri tetapi bagaimana de­ngan mereka yang tidak ada ilmu pertukangan termasuk ibu tunggal,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Jamilah, penduduk tidak menolak pembangunan dengan adanya laluan baharu ini, namun memohon kerjasama pemandu lori supaya bertimbang rasa dengan penduduk kampung.

“Muatan berat satu hal, ada juga pemandu yang membawa laju terutama pada waktu puncak,” katanya.

Nora Fazilah Mohd. Saini, 37, pula berkata, kediamannya turut mengalami kerosakan apabila pintu depan tidak dapat dibuka berikutan ta­nah mendap disebabkan gegaran setiap hari.

“Nak baiki perlukan kos tinggi, suami hanya be­kerja sebagai nelayan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Pontian.

Katanya, masalah itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, tetapi menimbulkan risiko lain seperti kemala­ngan selain rumah penduduk yang mengalami keretakan, bergegar dan sebagainya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |