Liu Ying : Zii Jia perlukan bantuan

6 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Bekas beregu campuran badminton negara, Goh Liu Ying menyifatkan tekanan yang dihadapi atlet perlu ditangani dengan baik apatah lagi dalam era media sosial yang penuh dengan kritikan terbuka.

Mengulas mengenai hantaran terkini pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di Instagram miliknya hingga mencetuskan telah pelbagai spekulasi, Liu Ying berkata, apa yang paling penting buat mana-mana atlet ialah berani mengakui jika berdepan tekanan serta bersedia mendapatkan bantuan.

BEKAS pemain badminton negara, Goh Liu Ying menasihatkan agar Lee Zii Jia berjumpa dengan pakar jika berdepan masalah.

Liu Ying menasihatkan agar Zii Jia mencari jalan terbaik untuk menguruskan perkara itu, termasuk mendapatkan khidmat pakar psikologi jika dia benar-benar berdepan masalah.

“Saya rasa semua atlet, tak kira tahap mana pun, pasti akan melalui tekanan. Cuma beza dia banyak atau sedikit saja.

“Tapi kalau dah sampai tahap kita sendiri tak boleh kawal, memang perlu dapatkan bantuan profesional seperti berjumpa dengan pakar psikologi.

“Saya sendiri pun pernah lalui perkara ini sebelum Olimpik dulu. Kami pun ada jumpa psikologi, jadi langkah pertama paling penting adalah kita kena berani akui yang kita sedang ada masalah dan perlukan bantuan,” kata Liu Ying ketika ditemui di Bukit Kiara, hari ini.

Beliau menjelaskan, proses pemulihan daripada kecederaan merupakan fasa paling mencabar bagi kesihatan mental seorang atlet, lebih-lebih lagi bagi pemain profesional seperti Zii Jia.

“Kecederaan adalah faktor yang paling memberi kesan kepada mental. Wujud tekanan daripada penaja yang mahukan pendedahan dan pada masa yang sama, atlet itu sendiri tergesa-gesa untuk kembali ke gelanggang bagi membuktikan kemampuan.

“Apabila kembali, tumpuan dan harapan yang tinggi diletakkan ke atasnya, sedangkan realitinya, seorang atlet memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan tidak mungkin dapat kembali pada prestasi 100 peratus serta-merta,” jelasnya.

Sehubungan itu, Liu Ying merayu kepada para peminat badminton tanah air agar memberikan Zii Jia ruang dan masa yang secukupnya untuk membina semula keyakinan diri.

“Saya harap para peminat boleh beri dia masa untuk kembali. Proses untuk mendapatkan semula ‘feeling’ dan keyakinan selepas cedera memerlukan beberapa kejohanan,” katanya selepas melihat sendiri hantaran Instagram Zii Jia. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |