KUALA LUMPUR – Enam premis kilang memproses dan mengedar produk logam di tiga negeri diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan rampasan barangan bernilai lebih RM96 juta.
Op Padu 2.0 ini digerakkan semalam secara serentak di Johor, Selangor dan Melaka oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) PDRM, dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi itu menyasarkan premis yang dipercayai mengimport, memproses dan membekalkan produk besi serta logam bagi sektor pembinaan dan industri tempatan tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Premis berkenaan didapati gagal mengemukakan dokumen Perakuan Pematuhan Standard (PPS) yang sah bagi produk logam serta menggajikan pekerja asing tanpa izin.
“Hasil pemeriksaan, seramai 60 pekerja ditahan, terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan 57 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Turut disita pelbagai barangan logam yang tidak menepati piawaian dan dipercayai dibawa masuk secara tidak sah dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM96,350,231,” ujarnya.
Azmi berkata, siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 33D(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).
Katanya, sejak 1 Januari hingga 4 Julai 2025, sebanyak 161 serbuan telah dijalankan oleh WCB/PSK di seluruh negara dengan 296 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh tersebut dianggarkan mencecah RM540.2 juta,” katanya.
Tambah beliau, operasi bersepadu itu turut disertai Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Turut bersama dalam operasi tersebut ialah Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Beberapa agensi penguat kuasa lain turut mengambil tindakan susulan terhadap pelbagai kesalahan yang dikesan, dengan jumlah kompaun yang dikeluarkan mencecah RM12,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE