Kanak-kanak 2 tahun mati didera pasangan keluarga angkat

4 hours ago 5

SUNGAI BULOH – Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga menyebabkan kematian di Paya Jaras, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan wanita berusia 35 tahun yang bertugas di Zon Merah Jabatan Kecemasan, Hospital Sungai Buloh.

“Dalam laporan yang diterima pada pukul 12.25 tengah malam, pengadu memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun telah dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 10.45 malam.

“Pengadu bersama pasukan perubatan telah memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun kanak-kanak tersebut tidak memberi tindak balas dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain tompokan darah kering di bahagian mulut dan hidung.

Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut dihantar ke hospital oleh sepasang lelaki dan wanita tempatan yang didakwa sebagai keluarga angkat mangsa.

“Bertindak atas maklumat itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sungai Buloh telah menahan kedua-dua suspek pada pukul 11 pagi tadi di kawasan daerah ini,” jelasnya.

Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 27 dan 28 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk permohonan reman.

Mayat kanak-kanak malang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |