PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan mangsa jenayah seksual, khususnya melibatkan kanak-kanak, akan diberi perhatian sepenuhnya susulan kes seorang peniaga nasi lemak yang didakwa merogol anak perempuan teman wanitanya baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, kes seumpama itu amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana masyarakat yang menghargai maruah serta keselamatan kanak-kanak.
“Saya ingin menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang mesti diberi perhatian serius.
“Sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkeupayaan untuk menjaga mangsa, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara bagi memastikan kebajikan dan keselamatan beliau (mangsa) terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain perlindungan fizikal, aspek sokongan psikososial juga penting bagi membantu pemulihan emosi dan mental mangsa.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar tidak berdiam diri dan segera melaporkan sebarang bentuk penderaan atau pengabaian kanak-kanak.
“Saya ingin mengajak masyarakat untuk terus peka terhadap isu penderaan kanak-kanak dan tidak berdiam diri apabila berlaku kejadian
sedemikian.
“Sebarang maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian boleh dilaporkan kepada Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran,” katanya.
Tambah beliau, KPWKM komited memperkukuh langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya berusia 12 tahun di sebuah rumah tahun lalu.
Tertuduh Azman Hasim, 61 yang juga peniaga nasi lemak membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Dalam mahkamah sama, seorang lagi tertuduh wanita berusia 37 tahun yang juga ibu kandung kepada mangsa turut mengaku tidak bersalah bersubahat dalam kes rogol mangsa yang didakwa membabitkan Azman pada tempat, waktu dan tahun sama. – KOSMO! ONLINE