JAIM kesal pengurusan masjid halang pengebumian suami isteri

9 hours ago 8

JASIN – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kesal dengan sikap pengurusan masjid di daerah ini yang tular didakwa tidak membenarkan jenazah pasangan suami isteri terlibat nahas dikebumikan di kariah itu atas alasan mangsa adalah penduduk luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana sifat perikemanusiaan menjadi perkara utama diambil kira berbanding ‘peraturan’ apabila melibatkan urusan kematian.

“Saya mahu mengingatkan bahawa walaupun menjadi kebiasaan tanah perkuburan masjid digunakan untuk anak kariah, namun tiada peraturan khusus melarang pengebumian orang luar dan jawatan kuasa masjid perlu guna budi bicara.

“Janganlah hendak menyusahkan waris dalam saat-saat begini, apatah ketika mereka sedang berdepan kesedihan kerana pasangan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan kejadian itu kerajaan negeri juga telah menyediakan Tanah Perkuburan Islam Bidadari untuk pengebumian jenazah luar kariah, terutama jika tanah wakaf masjid telah penuh.

“Kalau ada masjid yang sudah tidak cukup kawasan tanah perkuburan, JAIM akan bantu dapatkan kawasan baharu sama ada menggunakan tanah wakaf sedia atau atau menggunakan dana untuk membeli tanah di kawasan yang sesuai,” katanya.

Rahmad

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai sepasang suami isteri terpaksa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari, MITC, Ayer Keroh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 27 Jun lalu.

Situasi itu didakwa berlaku selepas pengerusi masjid di daerah ini menolak untuk memberikan kebenaran mengebumikan jenazah si isteri yang bukan anak kariah dan hanya membenarkan jenazah suaminya dikebumikan di kampung berkenaan walaupun kedua-duanya tinggal di Merlimau, Jasin.

Jenazah pasangan itu kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Bidadari selepas pihak pengurusan masjid di Ayer Keroh menawarkan bantuan dan lokasi pengebumian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |