Dulu bisnes solo, kini bergelar majikan

6 hours ago 5

KUALA KANGSAR – Menetap di luar bandar terutamanya di kawasan kampung pastinya memberikan pengaruh negatif terhadap minda seseorang terutamanya bagi mereka yang mahu menceburi bidang keusahawanan.

Bagaimanapun, menurut seorang usahawan dari Kg. Jeliang di Manong di sini, Nurul Atiqah Mohamed Amiruddin, 37, dengan adanya bimbingan dan nasihat yang tepat daripada golongan profesional, kekangan itu mampu diatasinya.

Kata ibu kepada tiga orang anak yang mengusahakan Iqa Jeliang Foods iaitu sebuah perniagaan berasaskan makanan dan minuman (F&B) itu, dia banyak belajar mengenai bidang keusahawanan apabila menyertai program empowerNCER sejak tahun 2023.

“Sebelum bekerja dalam bidang ini, saya terlebih dahulu berniaga pakaian kanak-kanak secara dalam talian sejak 2012 sehingga 2022, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak kepada perniagaan itu.

“Jadi saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang F&B dan pada masa yang sama, saya mengambil peluang meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan di bawah bimbangan program empowerNCER,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Nurul Atiqah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Pengiklanan) berkata, dia juga mendapat ban­tuan dalam bentuk geran dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Katanya, Geran Agropreneur Muda bernilai RM20,000 itu dite­rima pada tahun lalu membantunya mengembangkan lagi perniagaan, termasuklah menggunakan khidmat tiga pekerja.

“Saya bersyukur kerana perjalanan berniaga di Kg. Jeliang ini mendapat sokongan suami, Mohd. Faizal Ahmad Zin, 39, serta ibu mentua, Norliza Khalid, 59, yang berpengalaman dalam bidang perniagaan.

“Ditambah dengan bantuan seperti empowerNCER serta Mardi, saya kini mampu mengembangkan perniagaan dengan projek terkini iaitu menghasilkan produk seperti pes sambal dan daging hitam,” katanya.

Nurul Atiqah memberitahu, bantuan diterimanya seperti geran Mardi itu selaras dengan salah satu flagship pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad seperti Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).

Nurul Atiqah berkata, bekerja di lokasi mencabar seperti di kawasan kampung yang penuh dengan persaingan memerlukan seseorang itu kreatif memasarkan produk ma­sing-masing.

Katanya, dia yang menjual aneka makanan seperti laksa, nasi daging, burger, chicken chop, ramen dan pelbagai jenis minuman harus sentiasa mencari jalan menarik minat orang ramai di Manong untuk terus membeli produk jualan syarikat.

“Antara yang kami lakukan adalah dengan mempelbagaikan jenis makanan dan menukar menu dengan kerap kerana jika tidak, orang ramai akan bosan membeli juadah sama selepas beberapa hari.

“Dengan cara ini, orang ramai berasa teruja mahu membeli makanan kerana mereka akan tertanya-tanya makanan apa yang kami jual pada hari tertentu,” katanya yang turut melakukan promosi menerusi media sosial seperti Facebook dan TikTok.

Usahawan ini memaklumkan orang ramai terutamanya mereka yang mahu berjinak-jinak dengan bidang keusahawanan boleh mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak terutamanya kerajaan negeri kerana banyak program disediakan bagi membantu golongan itu.

“Program keusahawanan memang banyak ditawarkan. Jangan malu untuk mendapatkan bantuan dan paling penting sekali, jangan mudah berputus asa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |