TUJUH bulan turun naik mahkamah, kemelut rumah tangga pelawak Along Cham dan bekas isterinya, Afreena Suhaimi masih belum bernoktah.
Namun, kemelut rumah tangga mereka memasuki episod baharu apabila Along muncul dengan ‘peluru’ iaitu bukti baharu kecurangan isterinya bagi menguatkan dan mengesahkan lagi lafaz taklik yang dilakukan terhadap wanita terbabit.
Jika disingkap semula, kemelut rumah tangga mereka bermula pada Januari lalu apabila Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamuddin Ahmad hadir ke Mahkamah Syariah Putrajaya untuk memfailkan pengesahan lafaz taklik terhadap Afreena sehari selepas keluar dari penjara dengan ikat jamin ekoran kes berkaitan dadah dihadapinya.
Katanya ketika itu, dia sepatutnya sudah menfailkan cerai lafaz taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, namun ditangkap polis akibat dakwaan memiliki ganja dua hari sebelum itu.
Sebelum ini, Along mendedahkan tiga syarat taklik yang dilanggar Afreena ialah tindakan wanita itu menghubungi bekas isterinya, Zila Saeron bagi berkongsi mengenai anak.
Dua lagi punca turut diketengahkan Along sebagai pencetus jatuhnya lafaz taklik, termasuk isu curang dan tidak menghormati keputusan suami.
Rentetan itu, satu demi satu persoalan terlerai tetapi dalam masa sama aib antara satu sama lain juga terbuka.
Antara yang dikongsi Along sebelum ini adalah mereka pernah bercerai kali pertama selepas dua bulan bernikah iaitu sekitar Jun 2024 tetapi kembali rujuk secara batin.
“Setiap kali sikapnya terbongkar, dia mendesak saya ceraikannya, malah dia minta untuk berpisah lebih daripada 10 kali.
“Ketika itu terlalu banyak penipuan dan desakan berlaku, jadi saya cakap aku ceraikan kau Afreena binti Suhaimi dengan talak satu,” katanya sekitar Mei lalu.
Kenyataan tersebut juga selari dengan jawapan soal balas Along bersama peguam mewakili Afreena pada prosiding 3 Julai lalu yang memberitahu lafaz taklik berlaku dalam keadaan waras tanpa sebarang pengaruh bahan terlarang.
Along berkata, Afreena melakukan provokasi dan dia juga tidak mempunyai niat untuk bercerai.
“Siapa yang kahwin nak cerai?
“Siapa tak marah, baru kahwin berapa bulan tetapi isteri minta cerai. Saya marah dan sedar ketika itu (lafaz taklik),” jawabnya kepada Mohamad Iezwan di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Nazri.
Masih panjang, bukti baharu
Along dalam prosiding Khamis lalu mengemukakan bukti berbentuk rakaman suara dari panggilan telefon bersama sahabat baik Afreena.
Menurut Along, rakaman tersebut didakwa merupakan pengakuan Afreena berlaku curang dan bersekedudukan dengan individu yang dipercayai bekas suami keduanya sekitar September tahun lalu.
Rakaman audio tersebut sekali gus melanggar salah satu syarat taklik yang ditetapkan Along kepada Afreena.
Along yang diwakili peguam syarie, Muhammad Akmal Amzan berkata, bukti tersebut tidak dilampirkan lebih awal kerana bimbang akan dimanipulasi oleh pihak defendan.
“Bukan dokumen baharu tetapi sudah lama ada. Bila berhadapan dengan karakter (defendan) begitu, perlu lebih bijak.
“Kalau lampirkan awal, bimbang pihak sana akan manipulasi.
“Saya bincang terlebih dahulu dengan pihak peguam sebelum keluarkan ‘peluru’ ini (rakaman suara) dan dia benarkan,” katanya kepada HibGlam di sini, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Along turut melahirkan rasa kecewa apabila Afreena kerap membuka ruangan soal jawab dengan netizen sehingga dilemparkan gelaran sebagai penagih dadah.
“Saya tak faham kenapa dia suka bersoal jawab dan kongsi perihal dalam mahkamah dengan netizen.
“Saya tak ‘stalk’ media sosial dia tapi ramai orang keliling yang akan kongsi dan lebih baik saya fokus bisnes.
“Daripada ‘stalk’ dia, lebih baik saya cari jodoh baharu, bunga bukan sekuntum. Buat apa merintih kepada orang yang dah merosakkan hati,” ujarnya.
Mahkamah seterusnya menetapkan 14 dan Ogos depan bagi prosiding pengesahan lafat taklik pasangan tersebut yang masih belum menemui titik noktah itu.