Bukan masalah mental, sekadar seni

4 hours ago 4

TIDAK ada apa perlu dirisaukan peminat-peminat sukan tanah air berhubung situasi pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang didakwa berada dalam keadaan tidak stabil ketika ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah pun berhubung dengan Team Lee Zii Jia (Team LZJ) dan menerima maklum balas positif daripada pengurusan pemain tersebut.

Jelasnya, tindakan Zii Jia boleh dianggap lebih terarah kepada seni, namun beliau menyuarakan kesediaan untuk membantu bekas juara All England itu sekiranya khidmat badan induk berkenaan diperlukan.

“Untuk makluman, Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) sudah menghubungi pasukan Zii Jia dan kita juga mengambil langkah sama pagi tadi (semalam) bagi berhubung dengan pihak pengurusannya.

“Mereka memaklumkan bahawa Zii Jia tidak ada apa-apa (masalah) yang perlu dirisaukan. Mungkin dia ada sifat ingin tahu selain berminat dengan karya-karya seperti itu,” katanya ketika ditemui pada Hari Sukan Atlet di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Semalam, Zii Jia menimbulkan kebimbangan sebahagian besar peminat sukan tanah air, khususnya badminton apabila memuat naik gambar ilustrasi hitam putih tanpa kapsyen di laman Instagram seolah-olah menggambarkan keadaan dirinya ketika ini.

Keadaan itu menyebabkan ruangan komen dibanjiri dengan persoalan serta kata-kata semangat daripada peminat serta beberapa rakan senegara yang lain seperti Goh Jin Wei, Lai Pei Jing dan Yap Roy King.

Tambah Jefri, hasil daripada maklum balas yang diterima daripada pasukan serta rakan-rakan Zii Jia, tidak ada tanda-tanda bekas pemain No.2 dunia itu sedang berdepan masalah dari segi mental.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan Hari Sukan Atlet yang julung kali diadakan itu merupakan inisiatif MSN selepas mengambil kira cadangan diutarakan atlet dalam sesi libat urus sebelum ini.

“Dalam sesi libat urus sebelum ini, atlet mahukan aktiviti yang bukan sukan teras mereka. Mereka mahu satu aktiviti yang mana mereka boleh berjumpa atlet-atlet sukan lain, jadi sebab itu kita adakan Hari Sukan Atlet.

“Kita akan cuba buat secara tahunan dan harap mendapat lebih banyak sambutan daripada atlet. Tahun depan kita akan cuba cari jadual yang sesuai supaya lebih ramai atlet dapat turut serta,” ujar Jefri.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |