KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski menganggap peluang bertemu Iran pada saingan Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025 sebagai medan untuk menguji tahap keupayaan pasukan dalam usaha bersaing dengan negara elit dunia.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan telah dijemput menyertai CAFA 2025 yang akan berlangsung pada penghujung bulan depan dan telah diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Afghanistan dan tuan rumah, Tajikistan.
Kata Cklamovski, aksi bertemu Iran boleh dianggap sebagai penanda aras untuk anak-anak buahnya sama ada bersedia untuk memberikan perlawanan kompetitif dengan negara yang telah melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026 itu.
“Saya rasa CAFA 2025 adalah kejohanan yang menarik dan kita akan bertemu pasukan yang kuat dalam tempoh yang singkat. Fokus utama adalah aksi bertemu Tajikistan yang saya jangka sukar kerana mereka adalah tuan rumah dan kita pula sebagai pasukan lawan yang perlu sesuaikan diri dengan suasana di sana.
“Kemudian, kita akan bertemu Iran, pasukan di ranking ke-18 dunia dan akan beraksi di Piala Dunia tahun depan. Ini adalah cabaran menarik untuk melihat sendiri sejauh mana pasukan ini sudah berkembang.
“Saya harap pemain yang kita dapat melakukan sesuatu yang istimewa pada kejohanan ini nanti,” kata pengendali import dari Australia itu.
Kali terakhir skuad negara menentang Iran adalah pada saingan peringkat kumpulan Piala Asia 2007 sewaktu bergelar tuan rumah dengan Team Melli melakar kemenangan 2-0.
Sementara itu, Harimau Malaya turut terdesak untuk membalas dendam ke atas Tajikistan yang berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan kebangsaan pada aksi final Pestabola Merdeka edisi dua tahun lalu.
Bagi saingan Kumpulan A, satu lagi pasukan yang akan bersaing di pentas Piala Dunia 2026, Uzbekistan telah diundi bertemu Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman dengan hanya juara kumpulan layak ke pentas final.