Anwar ke Brazil, hadir Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil, bermula hari ini hingga 7 Julai bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Anwar hadir atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun 2025

“Beliau (Anwar) akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya, Besar Datuk Mohd. Shahar Abdullah,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelas kenyataan itu, penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 ini adalah selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.

“Sidang Kemuncak ini merupakan mesyuarat pertama Ketua-ketua Negara dan kerajaan daripada Negara-negara anggota dan Negara-Negara rakan BRICS,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia secara rasminya menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025.

Di bawah Kepengerusian Brazil, BRICS akan memberi tumpuan kepada enam keutamaan utama ialah kesihatan global, perdagangan, pelaburan dan kewangan, perubahan iklim serta kecerdasan buatan.

Selain itu, antara menjadi tumpuan adalah reformasi tonggak keselamatan dan Keamanan dalam Hubungan Pelbagai Hala, dan Pembangunan Institusi BRICS.

“Tumpuan ini adalah selari dengan keutamaan-keutamaan nasional Malaysia dan komitmen berterusan Negara terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan.

“Malaysia akan berkongsi pandangan dan keutamaan strategik Negara mengenai cabaran-cabaran global penting semasa Sidang Kemuncak ini,” jelasnya.

Anwar turut dijadualkan menyampaikan kenyataan negara dalam sesi ‘Strengthening Multilateralism, Economic-Financial Affairs, and Artificial Intelligence’ dan ‘Environment, COP30 and Global Health’.

“Intervensi Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme dan memperjuangkan suara dan kepentingan negara-negara membangun, sejajar dengan matlamat teras BRICS 2025,” katanya.

Wisma Putra turut memaklumkan, Anwar turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS, serta mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |