PETALING JAYA – Tiga lebuh raya dan 15 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-58 (AMM ke-58) bermula 8 hingga 11 Julai ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Yusri Hassan Basri berkata, manakala aktiviti raptai (dry-run) pergerakan motoked akan diadakan pada 4 hingga 6 Julai.
“Ia melibatkan laluan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga ke hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Raptai ini melibatkan kekuatan seramai 392 orang petugas trafik terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lencongan pada 7 Julai bermula pukul 7 pagi melibatkan Lebuh KLIA, Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban, Lingkaran Putrajaya, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Imbi.
Pada 8 Julai, lencongan bermula pukul 10 pagi membabitkan persimpangan Jalan Ampang/ Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail/ Jalan P.Ramlee, Jalan Perak/ Jalan P. Ramlee, Jalan Perak/ Jalang Pinang, Jalan Stonor/ Jalan Kia Peng serta Jalan Stonor/ Persiaran KLCC.
Seterusnya, penutupan laluan yang sama akan dilaksanakan pada 9 Julai bagi dua waktu berbeza iaitu pada pukul 7 pagi (hotel ke KLCC) dan 4 petang (KLCC ke hotel).
Bagi 10 Julai, lencongan turut membabitkan laluan sama bermula pukul 7 pagi (hotel ke KLCC) dan 5 petang (KLCC ke hotel) serta 7 malam (hotel ke KLCC) dan 10 malam (KLCC ke hotel).
Bagi 11 Julai, lencongan di enam laluan dan persimpangan itu hanya dijalankan pada pukul 7 pagi bagi perjalanan dari hotel ke KLCC.
Justeru, Yusri berkata, pengguna jalan disarankan merancang perjalanan lebih awal dan digalakkan menggunakan pengangkutan awam sebagai tanda sokongan kepada acara tersebut.
Tambahnya, kenderaan perdagangan adalah disaranlan tidak memasuki kawasan pusat bandar Kuala Lumpur sepanjang tempoh lencongan terutama semasa waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE