12 rem sawit diserbu, 21 individu ditahan

6 hours ago 5

TELUK INTAN – Polis Daerah Hilir Perak berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dan pemalsuan urus niaga buah sawit menerusi serbuan di 12 pusat jual beli sawit atau rem, kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan dari pukul 10 pagi hingga 5 petang itu, pemeriksaan turut dilakukan terhadap sebuah premis pembeli buah sawit tidak berlesen serta individu yang membeli buah sawit secara bergerak menggunakan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seramai 21 individu terdiri daripada enam lelaki dan 15 wanita ditahan dalam operasi yang dinamakan Op Helang Hilir Fasa 1.

Katanya, kesemua individu yang ditahan itu berperanan sebagai kerani dan penyelia di rem sawit selain peniaga jual beli buah sawit tanpa lesen.

“Berikutan laporan polis yang diterima berkaitan kes kecurian buah sawit di daerah ini, satu pasukan khas telah ditubuhkan pada April lalu bagi menangani kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, serbuan dijalankan di lokasi dikenal pasti sekali gus membawa kepada penahanan 21 individu, termasuk dua yang mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, beberapa barang dirampas termasuk 10 lesen perniagaan, 12 lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), 13 set komputer, 17 resit urus niaga jual beli sawit, 12 cop syarikat, 19 buku akaun urus niaga jual beli sawit, lima pencetak, dua alat timbang, 15 guni berisi buah kelapa sawit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, berdasarkan siasatan awal dan soal siasat ke atas tangkapan, didapati wujud asas munasabah berlakunya elemen penipuan, penyelewengan dan pemalsuan dokumen di premis-premis terlibat.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan semalam untuk reman dan diberi jaminan polis sementara siasatan dijalankan.

“Siasatan terhadap 12 premis membeli buah sawit berlesen dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala dua pembeli tidak berlesen dirujuk kepada MPOB bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lembaga Minyak Sawit 1998,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |