BANGI – Zakat bukan sekadar kewajipan agama, sebaliknya perlu diangkat sebagai salah satu teras utama dalam pengurusan kewangan negara yang berdaya saing dan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Khaidzir Shahari berkata, sistem tadbir urus zakat di Malaysia, termasuk kutipan dan agihan kepada asnaf kini semakin mantap.
Katanya, ia seharusnya dijadikan model rujukan bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Sebagaimana Malaysia dikenali sebagai peneraju kewangan Islam dunia, kita juga mahu zakat menjadi satu sistem pengurusan sosioekonomi yang unggul dan diiktiraf di peringkat global.
“Negara seperti Arab Saudi, contohnya, menyatukan kutipan zakat dan cukai di bawah satu jabatan. Malaysia pula mempunyai sistem pengurusan zakat tersendiri mengikut negeri, berasaskan sistem Raja Berperlembagaan di mana Raja adalah ketua agama.
“Justeru, kita mahu memperkukuh sistem ini dan menunjukkan kepada dunia bahawa model zakat Malaysia adalah holistik, telus, dan boleh diguna pakai oleh negara-negara lain,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat (Ijdaz) 2025 di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khaidzir, antara matlamat utama Ijtimak Duat dan Asatizah Zakat ini adalah untuk menyatukan semua da’ie dan penggiat zakat di bawah satu bumbung dalam usaha mengukuhkan jaringan (networking), bertukar pandangan, serta merumuskan resolusi bersama berkaitan hal ehwal zakat.
“Program ini bukan sahaja melibatkan pertukaran ilmu, malah membuka ruang kepada kerjasama rentas negeri. Contohnya, cara negeri di Pantai Timur menyantuni nelayan boleh diguna pakai di Selangor dan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, langkah proaktif itu juga membuka peluang kepada institusi zakat di Malaysia untuk berkongsi kepakaran dengan negara luar yang berminat meneliti sistem agihan zakat kita.
“Kita menerima banyak kunjungan hormat dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei yang mahu melihat secara dekat kaedah pengurusan zakat di Malaysia.
“Bahkan, tahun 2026 kita merancang menganjurkan Muzakarah Zakat Nusantara yang menghimpunkan negara-negara rantau ini untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dari aspek tadbir urus korporat hingga ke mekanisme agihan zakat,” jelasnya.
Tambahnya, kekuatan zakat sebagai instrumen pembangunan umat Islam tidak harus dipandang enteng, sebaliknya diarusperdanakan seiring usaha negara membina ekonomi yang adil dan saksama. – KOSMO! ONLINE