SUNGAI BULOH – Syarikat broker kewangan antarabangsa, XM Global menyalurkan peruntukan berjumlah AS$15,000 atau RM70,000 bagi kerja-kerja membaik pulih Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, di sini.
Wakil XM Global berkata, langkah itu antara lain merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena ulang tahun ke-15 syarikat berkenaan.
Katanya, sumbangan tersebut digunakan untuk membaik pulih fasiliti seperti bilik bayi, perpustakaan mini, tandas dan pemasangan panel solar bagi menjimatkan kos elektrik rumah kebajikan berkenaan.
“Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dipilih selepas kita dapati terdapat keperluan untuk membaik pulih banyak kemudahan asas yang penting untuk keselesaan penghuni di sini.
“Antara projek utama kami adalah menyediakan bilik bayi supaya bayi dapat ditempatkan di bilik yang selamat dan selesa. Selain itu, sumbangan tersebut juga dapat menaik taraf perpustakaan dengan membeli buku, meja, kerusi dan almari baharu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 XM Global di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, pagar di luar kawasan asrama lelaki yang sudah berkarat turut diganti, manakala sebuah gazebo dibina bagi memberi keselesaan kepada penghuni.
“Kami juga bantu memasang panel solar kerana difahamkan bil elektrik agak tinggi. Jadi, dengan penggunaan solar, dijangka dapat berjimat sehingga 50 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengetuanya, Jamaluddin Wahab berkata, Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan sejak 2007 itu menempatkan seramai 120 penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim, yatim-piatu dan asnaf di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bantuan ini hadir tepat pada masanya dan sangat kami syukuri.
“Ia bukan sahaja memberi keselesaan, malah menyerlahkan kembali semangat kami untuk terus menjaga anak-anak ini sebaik mungkin,” katanya.
Katanya, ruang bilik bayi dan bilik multisensori yang diwujudkan akan memberi manfaat besar kepada kanak-kanak di bawah empat tahun termasuk mereka yang memerlukan ketenangan emosi dan sokongan psikososial.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana syarikat yang mahu menyantuni anak-anak di Rumah Kasih Harmoni.
“Justeru, kami juga berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memberi sumbangan, khususnya dalam bentuk keperluan asas untuk kesejahteraan anak-anak di sini,” katanya.
Sementara itu, seorang penghuni yang dikenali sebagai Dawina, 17, berkata, dia berasa gembira dengan kemudahan baharu yang diterima termasuk perpustakaan yang telah ditambah baik untuk kegunaan pelajar-pelajar di rumah tersebut.
Selain itu, seorang lagi penghuni, Fahrin, 16, berkata, sumbangan XM Global menjadikan persekitaran rumah kebajikan tersebut kini lebih selesa dan selamat untuk penghuni-penghuninya.
“Terima kasih kerana beri sumbangan kepada kami, bagi kemudahan. Sekarang tandas pun sudah elok, pagar di asrama lelaki sebelum ini rosak dan bahaya juga dah dibetulkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE