LONDON – Bintang Chelsea, Alejandro Garnacho bakal kembali menghantui para peminat Manchester United sekiranya dia berjaya meledak gol dengan menewaskan bekas kelabnya itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford tengah malam ini.
Garnacho, 21, berhijrah menyertai The Blues dengan harga £40 juta (RM227.97 juta) pada hari terakhir perpindahan musim panas lalu selepas tidak sehaluan dengan pengurus United, Ruben Amorim.
Pemain sayap sensasi Argentina itu berpeluang untuk membuktikan Amorim membuat keputusan salah apabila dia kini sudah membuat dua penampilan bersama Chelsea termasuk dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) baru-baru ini.
Bekas penyerang Chelsea, Jimmy Floyd Hasselbaink berpendapat perpindahan Garnacho akan menguntungkan bekas itu disebabkan pengalaman dan kebolehannya untuk bersinar sebagai salah seorang bintang berbakat besar dunia.
“Perwatakannya menarik, dia juga pantas dan boleh menjaringkan banyak gol serta mencipta bantuan jaringan. Saya menyukainya, lebih-lebih lagi dia tak perlu menyesuaikan diri dengan saingan di EPL.
“Dia mempunyai karakter untuk berjaya di Chelsea. Jadi saya merasakan perpindahan Garnacho adalah sesuatu yang menguntungkan Chelsea,” kata Hasselbaink yang pernah meledak 87 gol dalam 177 penampilan selama empat musim bersama Chelsea.
Dalam masa sama, seorang lagi bekas pemain, Paul Merson turut menggesa pengurus Chelsea, Enzo Maresca agar menurunkan Garnacho dan Estevao William dalam kesebelasan utama menentang The Red Devils tengah malam ini.
Estevao dibeli daripada Palmeiras dengan harga £29 juta (RM165.28 juta) yang mana ia dijangka boleh meningkat sehingga £51 juta (RM290.66 juta) keseluruhan termasuk bonus prestasi.
Pemain sayap muda Brazil berusia 18 tahun itu bermain sudah bermain tiga perlawanan pertama EPL dengan mencipta satu bantuan jaringan tetapi tersisih dalam aksi terakhir menentang Brentford disebabkan masalah kesihatan.
“Chelsea perlu turunkan Estevao kerana dia sudah buktikan mampu bermain di peringkat tinggi seperti ini. Chelsea perlu gunakan segala kekuatan mereka untuk menewaskan United,” kata Merson yang menjangkakan kemenangan 3-1 buat Chelsea. – AGENSI