PERNAH meledak dengan watak Mak Leha dalam drama fenomena 7 Hari Mencintaiku, nama pelakon senior Liza Abdullah sentiasa menyerikan dunia seni tanah air.
Wataknya yang lantang, penuh api emosi, menjadikan figura otai itu bukan sekadar pelakon, tetapi ada dampak tersendiri.
Lebih empat dekad sejak mula bertapak sekitar tahun 1980 dengan deretan judul drama dan filem, pemilik nama sebenar Norliza Abdullah itu masih teguh berdiri dalam dunia seni.
Bagi pencinta seni, Liza bukan sekadar wajah di layar televisyen sebaliknya lambang kepada keaslian bakat yang tidak boleh dipertikai, setiap watak digarap penuh jiwa hingga mampu menusuk terus ke hati penonton.
Namun, di sebalik dunia glamor, jarang sekali wanita berusia 61 tahun itu membuka tirai peribadi.
Dia memilih untuk berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak menjaja kisah rumah tangga atau menayangkan sisi diri yang terlalu intim kepada khalayak.
Sejak lebih sedekad bergelar ibu tunggal, Liza menegaskan bahawa hal berkaitan jodoh dan rumah tangga terlalu peribadi untuk ditelanjangkan.
“Prinsip saya memang tak suka kongsi cerita peribadi dari dulu lagi kerana perihal itu sebenarnya sangat sensitif. Apatah lagi bila kita ada anak-anak dan keluarga.
“Orang juga akan berkata macam-macam nanti. Bila ada suami dulu, orang kata sudah bercerai. Kemudian bila kita sudah bercerai, orang kata sudah berkahwin pula?
“Mungkin ada sesetengah orang rasa perkara itu biasa, tapi saya tak begitu selesa sebab orang suka buat andaian sendiri termasuk kawan-kawan yang mungkin dengar cerita itu dari orang lain,” katanya kepada HibGlam.
Sebagai ibu kepada empat cahaya mata, Liza enggan membuka ruang fitnah atau kenyataan yang boleh membawa kesan buruk kepada keluarga.
Tambahan pula katanya, dunia media sosial kini pantas menghukum dan sukar ditarik kembali andai tersalah bicara.
“Kalau perkara itu untuk kebaikan tidak ada salahnya. Tapi kalau perkara yang kita nak cerita tak datangkan kebaikan, tak perlulah. Ada perkara kita boleh kongsi dan ada yang tak boleh.
“Apa pun, kehidupan saya sekarang bahagia bersama anak-anak. Sekarang ini banyak perkara yang menakutkan. Kalau terlepas cakap di media sosial, memang tak boleh tarik balik,” ujarnya.
Pelakon filem Ali Setan itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Zolkefli Abdulah Rahman, namun siapalah mampu melawan takdir, jodoh mereka terputus 2014 selepas 26 tahun hidup bersama.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak, Zulhaffiz Zarriq, 36, Nurwafiez Syahiddah, 32, Zulsyahmi Naqib, 23, dan Zulsyahmi Afif, 21.
Dalam perkembangan seni, Liza kini muncul dengan teater Cik Ros ,sebuah pementasan tribute mengenang jasa tokoh seni persembahan, Allahyarham Rosminah Tahir.
Teater arahan Hamzah Tahir, adik Allahyarham itu, berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan menghimpunkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Ziela Jalil, Juhara Ayob dan Amy Mastura.