[VIDEO] Saya tak nak tengok anak Mara masuk penjara – Asyraf Wajdi

12 hours ago 5

PETALING JAYA – “Saya tak nak dengar, tak nak tengok anak-anak Mara masuk penjara.”

Demikian teguran Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengadakan lawatan mengejut ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, Terengganu susulan pendedahan kes buli membabitkan pelajar di maktab tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pagi ini, beliau memaklumkan kunjungan yang dibuat tanpa pengetahuan pihak pengurusan maktab itu bertujuan memastikan tindakan tegas dapat diambil dan budaya buli tidak disembunyikan.

“Saya amat kecewa dan dukacita apabila mendengar ada insiden buli di maktab ini. Ini bukan budaya kita. Ini bukan ‘DNA MRSM’. Mengambil peluang berjumpa dengan anak-anak pelajar di surau dan titipkan beberapa pesanan dan peringatan.

“Budaya buli ini langsung tidak mencerminkan nilai Ulul Albab, sahsiah Mara dan prinsip pendidikan yang kami perjuangkan,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Tegas beliau, Mara mengamalkan dasar “You Touch, You Go” iaitu tiada kompromi terhadap pelaku buli mahupun yang bersubahat.

“MRSM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan pembentukan akhlak, jati diri dan kepimpinan masa depan negara. Kita tidak boleh benarkan satu insiden mencemar keseluruhan institusi yang merupakan medan melahirkan kepimpinan masa hadapan negara.

“Saya dan pengurusan Mara akan pastikan budaya buli dihapuskan sampai ke akar. Mara menetapkan sasaran ‘sifar buli’ di semua MRSM agar budaya toksik seperti ini tidak lagi berlaku dan perlu dihapuskan segera,” tegasnya.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan dua lagi pelajar tingkatan tiga MRSM Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan membuli dua rakan sekolah mereka pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, setakat ini, seramai tujuh pelajar MRSM berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |