[VIDEO] Pemandu lori tular didakwa sebab kematian penunggang motosikal

10 hours ago 2

KUALA LANGAT – Seorang pemandu lori yang tular melanggar seorang pengawal keselamatan sehingga menyebabkan kematian pada minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh S. Mohanatas, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Mohanatas didakwa memandu sebuah lori dengan cuai dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Mohd. Nazri Samsuri, 43.

Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 13 Jalan Banting – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 14 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara
sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan maksimum 100,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bersama seorang penjamin memandangkan kes melibatkan kematian.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan terhadap tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan syarat lain dirasakan wajar oleh mahkamah.

“Mohon tarikh baharu bagi serahan laporan bedah siasat, kimia dan patologi,” jelasnya.

Peguam T. Mishant mewakili tertuduh menyatakan pendapatan anak guamnya adalah sebanyak RM1,800 selain telah berkahwin, namun belum dikurniakan cahaya mata.

“Tidak patut tertuduh dihukum pada masa ini dengan dibebani nilai jaminan sangat tinggi. Mohon jaminan RM3,000 ditetapkan sementara kes ini dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Pada prosiding itu, Mohanatas turut mengakui tidak mempunyai lesen memandu ketika disoal Majistret Maslinda.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM8, 000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 26 Jun depan.

Kosmo! pada 16 Mei lalu melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori ketika berhenti di persimpangan di KM13, Jalan Banting- (KLIA) dan kes itu tular menerusi video berdurasi satu minit 3 saat yang memaparkan detik-detik berlakunya nahas tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |