Uruguay, Algeria mahu ubah lanskap diplomasi global

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) bukan sekadar acara diplomatik formal, sebaliknya turut membawa mesej mendalam tentang kebangkitan kerjasama global dari negara-negara selatan dunia.

Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin menyifatkan penyertaan negaranya dalam TAC sebagai langkah bersejarah yang membuka lembaran baharu hubungan antara Amerika Latin dan Asia Tenggara.

“Penyertaan kami dalam TAC ini bukan sekadar tandatangan formal. Ia adalah simbol kepada perubahan sikap dan pendekatan kami dalam diplomasi global.

“Sudah tiba masanya kita di selatan dunia termasuk Amerika Latin, Asia dan Afrika bekerjasama secara konkrit dan bukan lagi terpisah-pisah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangi Dokumen Penyertaan ke dalam TAC, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, negara-negara selatan sudah terlalu lama bekerja secara terasing, walaupun berkongsi aspirasi serta cabaran yang hampir serupa termasuk isu pembangunan mampan, kedaulatan negara dan perubahan iklim.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan Luar Negara Algeria, Ahmed Attaf berkata, ASEAN telah membuktikan melalui tindakan, hasil dan pencapaian yang mana kerjasama serantau mampu membawa perubahan besar, memperkukuh kestabilan dan menjana kemakmuran bersama.

“Dari sudut pandang rantau kami, ASEAN merupakan satu model integrasi serantau luar biasa dan satu contoh yang wajar mengilhamkan usaha-usaha serupa di seluruh dunia, terutamanya di benua Afrika.

“Kami juga terdorong oleh hasrat untuk memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama yang telah lama terjalin antara Algeria dan setiap negara anggota ASEAN,” katanya.

Tambah beliau, penyertaan ke dalam TAC akan menambah dimensi baharu kepada hubungan dua hala yang merangkumi ASEAN sebagai satu kesatuan serta bersuara secara kolektif dan semakin berpengaruh di peringkat global.

“Dalam semangat ini, kami juga beraspirasi untuk memperluaskan penglibatan kami bersama ASEAN, menjadi rakan dua hala yang boleh diterima dan kami dengan rendah hati memohon sokongan dan pengiktirafan berterusan daripada anda semua,” katanya.

Katanya, Algeria berbangga kerana berkongsi komitmen teguh dengan semua negara anggota ASEAN terhadap prinsip-prinsip TAC yang turut termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |