MELAKA – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencipta sejarah apabila menawarkan program dalam bidang penerbangan melalui kerjasama strategik bersama International Aero Training Academy (IATAC).
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, inisiatif itu merupakan satu lonjakan yang sejajar dengan aspirasi UPNM30: Memacu Kesarjanaan, Kepimpinan Masa Hadapan.
Ujarnya, program tersebut membolehkan pelajar memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan serta Lesen Juruterbang Profesional (CPL) secara serentak dalam tempoh tiga tahun menerusi konsep 2u1I iaitu dua tahun pembelajaran akademik dan satu tahun latihan industri.
“Pelajar tidak lagi perlu memperuntukan tempoh sehingga lima atau enam tahun untuk memperoleh dua kelayakan iaitu Ijazah Sarjana Muda dan CPL.
“Ini adalah program pembelajaran paling singkat di Malaysia, bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah memberi kelebihan kompetitif luar biasa kepada graduan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran dan Hari Terbuka Program Sarjana Muda Penerbangan 2u1I (Kerjasama IATAC-UPNM) yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di IATAC, Batu Berendam di sini, hari ini.
Tambahnya, usaha itu juga selari dengan teras pertama Pelan Strategik UPNM30 yang menekankan integrasi ilmu, kemahiran dan nilai dalam melahirkan pemimpin masa hadapan khususnya dalam ekosistem keselamatan serta penerbangan negara.
Mengulas lanjut Arman berkata, pelbagai program di peringkat diploma dan ijazah turut disediakan di UPNM bagi memperluaskan laluan kerjaya serta melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya saing serta memiliki kompetensi global.
“Inilah teras kepada visi UPNM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi memiliki jati diri kukuh kompetensi global dan berupaya memimpin serta menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.